Kemuliaan Saidatina Aisyah r.a, Isteri Rasulullah SAW

Agama Abi Aasim 27-Jul-2020
Masjid Nabawi, Madinah - kubah hijau menunjukkan lokasi rumah Nabi Muhammad SAW dan Aisyah r.a © Ayman Zaid | Dreamstime.com

‘Ummul Mukminin’ yang bermaksud ‘ibu kepada orang yang beriman’ adalah gelaran yang diberikan kepada Saidatina atau Siti Aisyah r.a, isteri Rasulullah SAW. Banyak sumbangan yang telah diberikan Siti Aisyah terhadap agama Islam.

Aisyah merupakan seorang yang bijak berhujah dan mencungkil kebenaran. Beliau juga seorang yang cepat memahami maksud-maksud hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sama ada secara ungkapan atau perbuatan. Beliau juga memiliki ingatan yang luar biasa. Banyak hadis-hadis yang disampaikan oleh Rasulullah telah disaampaikan semula oleh beliau dengan tepat.

Daripada kesemua isteri yang dikahwini Nabi Muhammad SAW, hanya Aisyah r.a sahaja merupakan seorang gadis. Dikhabarkan, Aisyah r.a dilamar oleh Baginda ketika usianya masih muda dan majlis perkahwinannya berlangsung pada bulan Syawal, tahun kedua Hijrah. Perkahwinan ini juga adalah kerana wahyu daripada Allah SWT terhadap Baginda.

Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah r.a: “Aku bermimpi melihatmu selama tiga hari berturut-turut. Malaikat datang kepadaku dengan membawa gambaranmu di dalam balutan sehelai kain sutera. Malaikat berkata, ‘Inilah gambaran isterimu.’ Aku pun membuka kain sutera yang menutupi wajahmu itu, ternyata itu adalah engkau. Maka, aku katakan, ‘Jika memang ini daripada Allah, nescaya Allah melaksanakannya’.” (Hadis riwayat Muslim)

Aisyah r.a merupakan antara isteri yang sangat disayangi dan dicintai oleh Nabi Muhammad SAW selepas Siti Khadijah r.a. Sepertimana yang telah diceritakan oleh Amr bin al-Asr r.a: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah manusia yang paling engkau kasihi? Rasulullah SAW menjawab: Aisyah. Aku bertanya lagi: Kalau dalam kalangan lelaki? Rasulullah SAW menjawab: Ayahnya (Abu Bakar r.a).”

Selain itu, Siti Aisyah r.a merupakan salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah. Dikatakan  sebanyak 1210 hadis telah diriwayatkannya. Beliau juga turut menjadi tempat rujukan para sahabat yang besar dalam bertanya soalan berkaitan agama seperti fikah, faraid dan perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan Rasulullah ketika berada di dalam rumah.

Hal ini diceritakan oleh Urwah bin Zubair: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih faqih di dalam ilmu agama, perubatan dan syair berbanding Aisyah.” Aisyah membuktikan bahawa peranan kaum wanita bukan sekadar di dapur sahaja, malah lebih besar daripada itu.

Malah, peranan beliau begitu hebat hingga menjadi sumber rujukan para sahabat-sahabat yang lain. Kaum Muslimah bolehlah menjadikan Saidatina Aisyah r.a sebagai tokoh dan idola kehidupan.