Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya
Pendapat

Kemuncak hidup sihat – amalan pengutamaan diri

Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis
© Odua | Dreamstime.com

Islam adalah suatu cara hidup (ad-Din) dan secara amnya, perkataan Din bermaksud agama dalam bahasa Arab. Pengertian perkataan ini pada umumnya meliputi perkara-perkara penilaian, kebiasaan dan agama. Ini merangkumi cara berfikir, sistem ekonomi, pembentukan peribadi insan, membangunkan nilai ketamadunan dan sebagainya. Inilah agama yang memahami semua aspek kehidupan manusia, termasuk kesihatan rohani, fizikal, peribadi serta kemasyarakatan. Dalam Islam, tubuh dan kesihatan kita dianggap sebagai hadiah penting dari Allah Maha Suci dan Maha Mulia.

Bagaimana caranya kita boleh hidup sihat dalam bahagia? Sebagai tambahan kepada memiliki warisan baka atau genetik yang subur, kehidupan yang sihat dan bahagia bergantung pada tabiat dan minda yang baik. Ia tidak boleh dicapai secara tidak sengaja. Dengan pengamalan kepercayaan dan ajaran Islam,  contohnya memupuk sikap positif, beribadat, sifat bertanggungjawab dan mempunyai nilai moral – seseorang itu pada dasarnya telah mengamalkan tabiat dan minda yang baik dan dapat mengekalkan kesejahteraan psikologi melalui kebahagiaan iman.

Penulisan ini memilih perspektif Islam yang paling dekat dengan kita, iaitu cara pemakanan dan penjagaan kesihatan. Jika ditenung dengan mendalam, tegasan melarang pengambilan alkohol, menghisap rokok, perjudian dan memakan daging khinzir membuktikan Islam telah pun meletakkan asas kukuh untuk cara gaya hidup yang sihat, bersih dan selamat. Dan jika diteliti dengan lebih kritis, fikirkan tentang tabiat kebiasaan amalan menggosok gigi, membasuh tangan, muka dan kaki, kemestian membersihkan diri sebelum bersembahyang. Juga amalan memotong kuku, meratakan kumis dan merapikan bulu alat kelamin juga merupakan langkah penting ke arah kebersihan diri.

Junjungan besar Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda) sentiasa memberi nasihat tentang kesihatan kerana tubuh yang sihat membawa kepada jiwa yang sihat. Mengenai tabiat makan, baginda bersabda: ‘Manusia tidak mengisi penuh sesuatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Adalah mencukupi bagi mereka makan beberapa suapan untuk memastikan tulang belakangnya tetap lurus. Tetapi jika dia harus mengisinya, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk udara.’ Hadis sahih daripada Sunan Ibn Majah, bab mengenai makanan (rujukan bahasa Inggeris: Jilid 4, Buku 29, Hadis 3349).

Ini jelas menunjukkan kepentingan disiplin dalam tabiat makan. Ia memilih untuk mencegah dan berhati-hati dengan apa yang masuk ke dalam perut kita. Seperti yang sedia maklum, banyak penyakit bermula dari perut dan ia dianggap sebagai tempat penyakit. Oleh itu, penekanan harus diberikan kepada jenis makanan yang kita makan dan jumlah yang kita makan. Al-Quran, surah ke 7 (Al-A’raaf), ayat 31 juga menyatakan mengenai pemakanan: ‘Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat, dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.’

Oleh yang demikian, petua terbaik adalah makan sedikit ketika benar-benar lapar. Dunia Muslim juga disarankan bagaimana perlunya amalan berhati-hati dengan makanan dan persekitaran diri. Kebiasaan yang baik seperti sentiasa menutupi makanan supaya terlindung daripada kuman bawaan udara. Tindakan yang turut diketahui dalam ajaran agama berkenaan menjauhkan diri daripada mereka yang mempunyai penyakit berjangkit. Begitu juga tentang kesan wabak penyakit, di mana mereka yang dijangkiti sesuatu wabak dilarang pergi ke kawasan yang bebas daripada wabak.

Di samping langkah-langkah mencegah, sudah semestinya terdapat amalan-amalan dan garis panduan berkenaan makanan sihat dan hidup secara aktif. Dari segi jenis-jenis makanan yang digalakkan dalam tradisi Islam, ini termasuk bijiran dan sup, di samping memakan sayur-sayuran hijau sebagai pilihan yang sihat. Al-Quran berulang kali memperkatakan tentang buah-buahan Syurga, khususnya anggur dan delima serta buah zaitun dan ara yang berfaedah dan diberkati apabila memakannya. Sementara itu, madu juga diiktiraf kerana mempunyai kualiti menyembuhkan penyakit. Kesemua makanan ini diketahui berupaya meningkatkan sistem imun dan membantu mengekalkan kesihatan.

Masyarakat Muslim sedunia juga pastinya maklum tentang faedah kesihatan berpuasa. Puasa membawa perubahan fisiologi yang lengkap, memberikan rehat untuk saluran pencernaan dan sistem saraf pusat. Walaupun berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima, tujuan berpuasa juga adalah untuk mempertingkatkan takwa yang mana manfaat kerohaniannya adalah sangat besar. Puasa juga telah diiktiraf oleh pakar perubatan moden melalui fenomena ‘puasa berselang’ yang diperakui faedahnya kepada kesihatan badan. Kajian telah menunjukkan bahawa ia dapat membantu menurunkan berat badan, mengurangkan tekanan darah, paras gula dan kolestrol.

Mengekalkan tahap kesihatan yang optimum dengan bersenam dan menjalani aktiviti-aktiviti fizikal juga adalah sangat digalakkan. Isu ini juga penting dalam mengasuh dan mendidik anak-anak. Latihan jasmani yang sihat dan kuat boleh diperolehi dengan bersukan secara konsisten, tidak kira apa jenisnya. Ini pastinya boleh juga dilakukan sesama ahli keluarga, termasuk beriadah atau bermain-main dengan anak, isteri atau suami. Untuk melengkapkan kitaran kesihatan diri, pastikan hari-hari kita disempurnakan dengan rehat dan tidur yang cukup, serta mengelakkan tekanan yang pelbagai. Memiliki kehidupan berkeluarga yang baik akan membantu mengatasi tekanan tersebut. Terakhir, terus-menerus berhubungan dengan Allah, Nabi, Al-Quran dan Hadis – ini akan sangat membantu kehidupan kita.

Related articles
2019-nCoV Dunia Adea Ghafar Coronavirus baru dan khabar angin palsu
Pendapat Pendapat
Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis

Dalam pendekatan yang lebih besar, Islam hadir untuk memperbaiki kehidupan dan pengalaman manusia di dunia. Juga untuk meningkatkan keupayaan dan ketokohan seorang manusia dan masyarakatnya. Perkara yang paling senang difahami kebenarannya ialah kita perlu berada di titik tengah antara mencari dunia dan memilih akhirat. Persoalannya, apakah usaha yang perlu dibuat dalam titik kedudukan ini?

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis

Kemajmukan bangsa dan rampaian budaya telah memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah negara. Ia digambarkan sebagai suatu persekitaran kawasan dengan masyarakat etnik campuran di mana wujud banyak amalan-amalan dan tradisi budaya. Ketiadaan unsur ini pula telah menghalang sesebuah negara mencapai tahap kemakmuran yang serupa. Integrasi masyarakat menjadi agenda penting dalam menyampaikan mesej perpaduan dan kedamaian kepada seluruh manusia. Bagi umat Islam, mesej ini telah diamalkan semenjak masa Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda).

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis

Pada era moden ini, tradisi Islam kerap membicarakan tentang kepercayaan, dengan menekankan tatacara amalan ritualistik, juga diselit unsur hukum-hakam sambil mengabaikan dimensi rohani dan moral yang mendalam. Perkara keperibadian rohani dan jasmani Islam dan juga kesejahteraan jiwa sebenarnya adalah tajuk-tajuk pokok dalam memperkuatkan diri sebagai seorang Muslim.

Teruskan Teruskan