Kenaikan harga kelapa sawit kepada RM3,000 setan gembirakan peneroka

Uncategorized MAS 28-Dis-2019
Kelapa sawit
Mengumpulkan kelapa sawit © Brian Scantlebury - Dreamstime.com

Kenaikan harga kelapa sawit akhir-akhir ini membawa keceriaan kepada pekebun kecil termasuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Rata-rata peneroka dan generasi kedua yang mengusahakan tanaman komoditi itu bersyukur dengan harga baru tanaman tersebut.

Menurut seorang peneroka Felda, Ashab Mohd Dasin harga terkini lebih wajar dan lebih mencerminkan keadaan ekonomi. Terdahulu, harga kelapa sawit merudum mengakibatkan keresahan kepada pekebun kecil. Kenaikan harga kepada RM3,000 setan, melonjakkan pendapatan bersih peneroka daripada RM800 kepada RM1,800 sebulan. Harga baru ini akan memberi kesan baik kepada pekebun kelapa sawit seluruh negara. Harapan mereka adalah supaya harga dapat kekal pada paras tersebut untuk tempoh yang lama. Jika berlaku penurunan, kadar kejatuhan diharap tidak terlalu mendadak.

Peneroka Felda menguruskan sendiri kebun kelapa sawit masing-masing dan menjual hasil kepada Felda. Secara purata, peneroka mampu meraih sehingga lapan tan sawit sebulan bagi kawasan seluas 10 ekar. Penjualan diraih dua bulan sekali dengan purata empat hingga lima tan untuk setiap jualan. Hasil diperolehi melalui penjualan perlu diagihkan untuk pembayaran upah pekerja selain kos untuk penyelenggaraan dan pembelian baja.

Dalam perkembangan berkaitan, harga kelapa sawit dijangka kekal melepasi RM3,000 setan. Perkara ini berikutan peningkatan eksport dan pengeluaran rendah minyak sawit mentah (MSM) pada bulan Disember. Menurut pedagang Iceberg X, David Ng pengurangan antara 10% hingga 15% pengeluaran MSM akan mengakibatkan harganya kekal kompetitif.

Pengeluaran MSM di Malaysia menurun kepada 1.2-1.3 juta tan berbanding 2018. David berpandangan faktor tersebut menyumbang kepada kenaikan harga MSM di pasaran melebihi RM3,000 setan. Harga berkenaan diramal kekal sehingga suku pertama 2020. Selain itu, komitmen pelaksanaan biodiesel di Indonesia (B30) dan Malaysia (B20) juga bakal memperkukuh sentimen peningkatan tersebut, tegas beliau.