Kenali Baju Melayu Teluk Belanga

Budaya 27 Jan 2021 Hagnas
Hagnas
Kenali Baju Melayu Teluk Belanga
Kenali Baju Melayu Teluk Belanga © tateh.com.my

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Salah satu baju kebangsaan di Malaysia ialah baju melayu. Terdapat pelbagai baju melayu antaranya ialah Baju Melayu Teluk Belanga.

Pemakaian baju melayu mula dikuatkuasakan pemakaiannya pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah Melaka yang memerintah dari tahun 1424 hingga 1444. Pada hari Jumaat dan hari-hari keraian lainnya, bangsa Melayu dikehendaki memakai baju kebangsaan ini. Adat ini terus diamalkan sehingga kini dengan beberapa penambahbaikan.

Keunikan Baju Melayu Teluk Belanga

Baju Melayu terbahagi kepada dua bahagian iaitu baju yang seakan-akan kemeja lengan panjang serta seluar panjang yang dilengkapi dengan songkok dan kain sampin.

Leher Baju Melayu Teluk Belanga disulam dengan berbagai bentuk sulaman pada bahagian leher seperti sulaman mata lalat, tulang belut dan insang pari. Kocek pada baju melayu ini ada dua di bahagian bawah baju.

Seluar yang dipadankan dengan baju ini ialah seluar kabul. Seluar ini bertongkah atau bertakak seperti seluar Cina. Kaki seluar ini juga agak besar jika dibandingkan dengan seluar biasa yang berasal dari Barat.

Sampin yang dipadankan dengan Baju Melayu Teluk Belanga menggunakan kain songket atau boleh juga menggunakan kain pelikat. Terdapat beberapa gaya ikatan sampin iaitu ikatan pancung, kembung dan lingkup.

Pakaian dan agama

Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mematuhi syarat dan adab dalam berpakaian. Mulakanlah memakai pakaian dari anggota kanan dan bacalah doa berikut :

بِسْمِ اللهِ اَللّٰهُمَّ اِنِّى اَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَخَيْرِ مَاهُوَ لَهُ وَاَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّمَا هُوَلَهُ

Ertinya: “Dengan nama-Mu ya Allah aku minta kepada Engkau kebaikan pakaian ini dan kebaikan apa yang ada padanya, dan aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan pakaian ini dan kejahatan yang ada padanya.”

Bersyukurlah kepada Allah SWT atas nikmat pakaian yang Allah kurniakan kepada kita.