Kenali Diabetes, Elak Komplikasi

Tahukah anda bahawa lebih daripada 3.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 7 juta menjelang tahun 2025?

Di sebalik hakikat fakta tersebut, adakah kita benar-benar faham dan mempunyai kesedaran mengenai penyakit diabetes?

Diabetes merupakan penyakit yang berlaku apabila paras gula dalam darah lebih tinggi daripada paras biasa.

Ia merupakan satu penyakit kronik yang berlaku apabila pankreas tidak lagi menghasilkan insulin yang mencukupi atau badan tidak mampu menggunakan insulin sendiri dengan berkesan.

Paras gula yang tinggi dalam darah pula boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan jangka panjang dan pendek seperti serangan jantung, strok, penyakit buah pinggang, amputasi anggota badan, masalah penglihatan dan lain-lain.

Jenis-Jenis Diabetes

Terdapat beberapa jenis diabetes iaitu Diabetes Jenis 1, Diabetes Jenis 2 dan Gestational Diabetes (diabetes ketika hamil).

Diabetes Jenis 1 boleh berlaku apabila pankreas langsung tidak mampu menghasilkan insulin atau hanya mampu menghasilkan sedikit insulin yang disebabkan pelbagai faktor seperti genetik dan serangan virus.

Manakala, Gestational Diabetes pula berlaku apabila tubuh badan wanita hamil tidak menghasilkan insulin yang mencukupi untuk mengawal paras gula dalam darah yang tinggi, dan boleh terjadi pada mana-mana peringkat kehamilan.

Sementara itu, diabetes yang paling lazim menyerang kebanyakan daripada kita adalah Diabetes Jenis 2, yang mana ia menjejaskan proses metabolik gula dalam badan.

Ia kebiasannya sukar dikesan, terutamanya pada peringkat awal, di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala yang nyata.

Namun, kesannya amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan pelbagai organ seperti jantung, saluran darah, saraf mata dan buah pinggang.

 

Tanda-Tanda dan Gejala Diabetes

Tanda-tanda dan gejala diabetes boleh berlaku secara berperingkat atau mendadak. Apa yang lebih menakutkan adalah kebanyakan pesakit diabetes tidak sedar mereka sudah menghidap penyakit tersebut sehinggalah mereka diserang komplikasi yang dikaitkan dengan diabetes.

Berikut merupakan gejala lazim yang dialami oleh penghidap diabetes:

  1. Kerap buang air kecil (polyuria)
  2. Rasa haus yang berpanjangan (polydipsia)
  3. Sering berasa lapar
  4. Penurunan berat badan yang mendadak
  5. Penglihatan kabur
  6. Letih/lesu
  7. Luka yang lambat sembuh
  8. Kerap mengalami jangkitan

Rawatan dan Pengurusan Diabetes Jenis 2

1. Penurunan berat badan

Penurunan berat badan sebanyak 5-10% daripada berat badan boleh mengurangkan paras gula dalam darah. Penurunan berat badan yang berkekalan sebanyak 7% adalah yang paling ideal.

2. Pemakanan sihat

‘Diet khas diabetes’ semenangnya tidak wujud. Namun, jika anda menghidap diabetes, anda harus mengawal pemakanan pada jumlah kalori yang lebih rendah. Selain itu, amat penting untuk anda mengurangkan pengambilan gula dalam makanan yang mempunyai lemak tepu dan melebihkan sayuran serta buah-buahan dan makanan yang tinggi serat.

3. Bersenam

Dapatkan nasihat doktor sebelum anda melakukan mana-mana program senaman. Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk berjalan, berenang, berbasikal, senaman aerobik, angkat berat ataupun apa jua jenis senaman yang anda minati. Cubalah bersenam sekurang-kurangnya 15-30 minit setiap hari.

4. Terapi insulin atau ubatan diabetes

Kebanyakan pesakit Diabetes Jenis 2 perlu bergantung kepada ubat-ubatan bagi mengawal paras gula dalam darah mereka. Ubatan boleh didapati dalam bentuk tablet dan suntikan seperti suntikan insulin. Bincang dengan doktor anda untuk ubat-ubatan yang paling sesuai dengan anda.

5. Pemantauan paras gula

Bergantung kepada pelan rawatan dan jika anda perlukan beberapa dos insulin sehari, anda mungkin akan dinasihat untuk memeriksa serta mencatat paras gula dalam darah secara berkala. Bincangkan kekerapan dan waktu pemantauan dengan doktor anda. Pemantauan berterusan merupakan salah satu cara paling efektif bagi memastikan paras gula anda berada pada paras yang normal.

Kempen For Your Sweetheart

Bersempena dengan Hari Jantung Sedunia, Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) bersama Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES), disokong oleh Boehringer Ingelheim, melancarkan kempen For Your Sweetheart.

Dengan cogan kata ‘Jaga Diabetes, Lindungi Jantung’, kempen ini bertujuan mendidik orang ramai terutamanya pesakit diabetes mengenai hubungan antara diabetes dan penyakit kardiovaskular.

Kempen ini juga menekankan kepentingan bagi pesakita diabetes untuk menjaga kesihatan jantung mereka bagi mencegah penyakit kardiovaskular serta kematian yang berkait rapat dengannya.

Fasa pertama kempen ini dimulakan dengan pelancaran laman web baharu, video kajian sosial, kisah-kisah pesakit diabetes dan kandungan media sosial.

Laman web kempen ini iaitu foryoursweetheart.my akan menawarkan maklumat penting mengenai diabetes dan penyakit kardiovaskular berkaitan diabetes untuk mendidik orang ramai terutamanya golongan pesakit diabetes.

Kempen For Your Sweetheart turut mendapat sokongan daripada pelakon, Fatimah Abu Bakar, pelakon dan penerbit, Sharifah Aryana serta Sharifah Amani, di mana mereka akan turut menyebarkan mesej mengenai kempen ini di media sosial mereka.

Foto: Freestocks.org, Rawpixel, Pixabay (Pexels) & Zeno Group

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Tanda-tanda dan gejala diabetes boleh berlaku secara berperingkat atau mendadak. Apa yang lebih menakutkan adalah kebanyakan pesakit diabetes tidak sedar mereka sudah menghidap penyakit tersebut sehinggalah mereka diserang komplikasi yang dikaitkan dengan diabetes.