Selawat Nabi Dan Jenis Selawat Lain

Setiap kali Rabi’ul Awal menjelma, pasti kita mendengar peringatan untuk memperbanyakkan selawat dan salam ke atas rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Tetapi banyak juga variasi selawat dan salam yang telah diajarkan kepada kita. Yang mana satu patut kita amalkan?

Menurut Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa dalam penulisannya di akhbar Berita Harian, selawat terbahagi kepada dua, iaitu selawat ma’thur yang berdasarkan hadis dan ghaira ma’thur yang biasanya disusun oleh sahabat Nabi SAW, tabiin, ulama dan aulia.

Beliau mencadangkan antara selawat yang boleh kita amalkan adalah:

  1. Selawat Ibrahimiyah: Ini merupakan selawat yang dibaca semasa tahiyat akhir setiap solat, dan selawat Ibrahimiyah adalah selawat yang paling afdal.
  2. Selawat Tafrijiah/Nariyah: Selawat ini dibaca apabila seseorang mempunyai hajat, tak kiralah kecil ataupun besar. Setiap permintaan dalam selawat itu mempunyai asas daripada sunnah dan sirah Nabi SAW.
  3. Selawat Munjiyat: Antara selawat yang biasa diamalkan khususnya di alam Melayu kerana ia sering dibacakan dalam doa majlis tahlil dan bacaan surah Yasin.
  4. Selawat Syifa: Seperti namanya, selawat ini sering dibaca untuk memohon kesihatan dan kesembuhan daripada penyakit kepada Allah SWT.
  5. Selawat Imam Shafie: Antara selawat yang popular kerana dibacakan dalam majlis tahlil. Menariknya, teks selawat ini mengungkapkan semoga Allah SWT menganugerahkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW sebanyak bilangan segala yang Dia ketahui dan tinta yang mencatat kalimah-Nya selama masih ada orang yang mengingati atau terlupa kepada Tuhan.

Selawat Keatas Nabi adalah Selawat ke atas Rasulullah SAW yang merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan pula, pensyariatan hukum sunat dan lafaz selawat itu ada banyak, yang popular seperti hadith riwayat Imam Muslim (406):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمِ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan kerabat Muhammad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

Lafaz-lafaz lain:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas kerabat Muhamad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung. Dan berkatilah ke atas Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR Bukhari

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدُ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas isteri-isteri baginda dan zuriatnya seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas isteri-isteri baginda dan zuriatnya seperti mana Engkau memberkati ke atas kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR Bukhari & Muslim

اللهم صل على محمد عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ وَآلِ إبْرَاهِيمَ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad, hamba-Mu dan utusan-Mu, seperti mana Engkau berikan selawat ke atas Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim dan kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR Bukhari

اللَّهُمَّ صَلِّ مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صليت عَلَى إبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad, seorang Nabi dan seorang yang ummi, dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas Ibrahim dan kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad, seorang Nabi dan seorang yang ummi, dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim dan kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

HR Ibn Hibban, al-Hakim, al-Daruqutni dan al-Baihaqi. Al-Daruqutni berkata hadis ini hasan manakala al-Hakim berkata sahih.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab (56))

Jika para malaikat boleh berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, apatah lagi kita, manusia hamba Allah SWT yang kerdil ini. Sempena bulan mulia ini, marilah kita meringankan lidah untuk sentiasa memperingati Rasulullah SAW dengan menghantar selawat dan salam kita kepada Baginda.

 

Sumber: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan

Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Harian

Gambar: Yasmine Arfaoui di Unsplash

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمِ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan kerabat Muhammad seperti mana Engkau berikan selawat ke atas kerabat Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas kerabat Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas kerabat Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.