Kenali Keunikan Gua Di Malaysia Menerusi Koleksi Setem

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan kepelbagaian alam semula jadi, termasuklah gua-gua yang unik.

Namun, ramai daripada kita yang mungkin tidak menyedari akan kepentingan gua-gua yang ada di negara ini terutamanya dari sudut sejarah.

Justeru, dalam usaha untuk menghargai dan memelihara kepentingan gua-gua di negara ini, Pos Malaysia julung-julung kalinya mengeluarkan siri setem bertemakan gua yang dikenali sebagai Gua Di Malaysia.

Antara gua terkenal yang dipaparkan dalam siri itu adalah Gua Niah di Sarawak, Gua Gomantong di Sabah, Gua Tempurung di Perak serta Gua Kelam di Perlis.

“Tidak ramai yang tahu bahawa kebanyakan penemuan arkeologi dan paleontologi yang terpenting di dunia adalah ditemui di gua-gua di seluruh dunia.

“Manusia prasejarah menggunakan gua untuk pelbagai tujuan termasuk tempat perlindungan, upacara dan tapak pengebumian.

“Sehubungan itu, kami berharap agar penerbitan siri setem ini akan dapat mengetengahkan kepentingan gua kepada orang awam serta mempromosikan sektor ekopelancongan negara,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

 

Gua Gomantong dikenalpasti sebagai habitat kepada dua spesies burung layang-layang yang terkenal.

Gua Tempurung pula merupakan salah satu gua terbesar dan terpanjang di Semenanjung Malaysia, manakala Gua Kelam adalah kaya dengan bijih timah berkualiti.

Sementara itu, kehebatan Gua Niah terletak pada kepentingannya sebagai tapak prasejarah, di mana fosil manusia dari 40,000 tahun yang lalu telah dijumpai, menjadikannya penempatan manusia tertua di Malaysia Timur.

Koleksi setem Gua Di Malaysia dikeluarkan bersama tiga setem pos yang menggambarkan ilustrasi Gua Tempurung, Gua Kelam dan Gua Gomantong.

Setiap setem juga menampilkan ilustrasi sekunder berbentuk hidupan liar yang biasa ditemui di gua seperti ikan seluang, lipan gua dan burung layang-layang.

Ketiga-tiga setem tersebut didatangkan dalam denominasi RM0.60sen dan dicetak dalam kuantiti terhad sebanyak 200,000 keping setiap setem.

Sementara Gua Niah pula dipaparkan dalam Lembaran Mini (MS) siri setem Gua Di Malaysia.

MS dilengkapi dengan ciri khas iaitu potongan terap di sepanjang garis bentuk pintu masuk gua, dan ia boleh dibeli pada harga RM5.

 

Pada masa sama, tanda pembatalan (cancellation mark) juga direka khas yang berbentuk struktur gua iaitu stalaktit dan stalagmit, bersesuaian dengan tema isu kali ini.

Sementara itu, produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dan Folder masing-masing berharga RM0.50sen dan RM6.

Bagi mereka yang ingin memiliki set lengkap siri Gua Di Malaysia, ia boleh didapatkan pada harga RM54.80 setiap set, yang mengandungi tiga helai lembaran setem, brosur penerangan, MS, FDC dengan setem, FDC dengan MS dan Folder.

Siri setem ini boleh didapatkan di Pejabat Pos Besar dan pejabat pos terpilih di seluruh negara atau secara dalam talian di eziemall.com di bawah pautan “Stamps & Collectibles.

 

Foto: Pos Malaysia