Kenali pasangan Muslim di sebalik vaksin COVID-19

Kesihatan Hannan
Terkini oleh Hannan
Kenali pasangan Muslim di sebalik vaksin COVID-19
Kenali pasangan Muslim di sebalik vaksin COVID-19 © time.com

Tahukah anda, individu yang berjasa di sebalik pembikinan vaksin COVID-19 merupakan pasangan Muslim German daripada Turki?

Dr. Ugur Sahin dan isteri beliau, Dr. Ozlem Tureci merupakan dua figura penting dari BioNTech, syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan vaksin dengan kerjasama bersama Pfizer.

Pasangan suami isteri yang berusia 55 tahun dan 53 tahun ini berjaya menghasilkan vaksin yang mempunyai keberkesanan setinggi 90% – lebih daripada jangkaan mereka yang pada mulanya menganggarkan keberkesanan asal hanya akan mencapai 70%-80% sahaja.

Untuk pengetahuan anda, pasangan ini tidak mempunyai kereta dan hanya cuti separuh hari pada hari perkahwinan mereka. Menurut Tureci, separuh hari sudah cukup!

Lebih awal menghasilkan vaksin COVID-19

Dua tahun lalu, Dr. Ugur Sahin telah membuat satu ramalan di sebuah konferensi di Berlin.

Menurutnya, syarikat beliau mungkin mampu menggunakan teknologi mRNA bukan sahaja untuk merawat kanser, tetapi juga untuk membuat vaksin dengan pantas sekiranya berlaku sebarang pandemik pada masa hadapan.

Namun, pada waktu itu, syarikat Dr. Sahin masih belum terkenal. BioNTech juga tidak dikenali di dalam dunia start-up di luar Eropah dan masih belum mempunyai produk sendiri. Pada awalnya, BioNTech lebih fokus pada rawatan kanser menggunakan teknologi mRNA tersebut.

Tetapi, pada bulan Januari tahun 2020, beliau telah menerima khabar mengenai sejenis novel koronavirus yang mula merebak di China.

Dr. Sahin jadi semakin risau setelah melakukan carian pantas di internet mengenai bandar Wuhan. Menurutnya, bandar tersebut dekat dengan bandar besar yang lengkap dengan lapangan terbang antarabangsa.

Semua faktor di atas merupakan antara tanda bakal tercetusnya sebuah pandemik yang besar sekiranya virus tersebut tidak dapat dibendung.

Ramalan yang tepat

Walau bagaimanapun, Dr. Sahin mengakui pada awalnya tidak ramai yang sudi bekerjasama dengan syarikat beliau kerana menganggap virus tersebut hanyalah sesuatu yang digembar-gemburkan dan sebuah ‘hype’ semata-mata.

Tetapi, dalam masa 4 minggu, COVID-19 telah membadai Eropah dan memaksa mereka untuk memasuki fasa ‘lockdown’.

Pada waktu itu, BioNTech telahpun mempunyai 20 calon vaksin COVID-19 yang terhasil daripada projek ‘Lightspeed’.

Walau bagaimanapun, syarikat Dr. Sahin tidak berupaya untuk melakukan ujian klinikal secara besar-besaran atau melakukan pengagihan pada masa hadapan.

Oleh sebab itu, Dr. Sahin telah berhubung dengan Pfizer. Pfizer terus setuju dan melabur sebanyak $185 juta untuk proses pembuatan vaksin. Malah, Pfizer juga bersetuju untuk melabur sebanyak $563 juta lagi mengikut kemajuan projek vaksin tersebut.

Pembuatan vaksin COVID-19 adalah satu tugas

Sebagai seorang Muslim, kita haruslah mencontohi peribadi Dr. Sahin yang sentiasa bersederhana. Menurut The Washington Post, Dr. Sahin menganggap pembuatan vaksin COVID-19 merupakan sebuah tugas dan bukannya satu peluang.

Kini, Dr. Sahin Dan Dr. Tureci merupakan pasangan jutawan. Menurut akhbar Jerman Welt am Sonntag, mereka merupakan antara 100 orang terkaya di German.

Apabila ditanya mengenai kekayaan beliau, Dr. Sahin menjawab – Apa yang penting, vaksin COVID-19 perlulah dipasarkan dengan serta merta kepada orang ramai.

Lagipun, beliau tidak mempunyai kereta. Beliau juga tidak bercadang untuk membeli kapal terbang peribadi kerana beliau berbasikal ke tempat kerja setiap hari.

Menurut Dr. Sahin, yang penting ialah dapat berjasa kepada dunia, dan mencipta sesuatu yang berimpak besar di dalam bidang perubatan. Masya-Allah!

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.