Kenali tiga ilmuwan Islam yang berasal dari wilayah Khurasan

Pendidikan 14 Mac 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Kenali tiga ilmuwan Islam yang berasal dari wilayah Khurasan
Kenali tiga ilmuwan Islam yang berasal dari wilayah Khurasan (foto: peta wilayah Khurasan, zaman Dinasti Tahiri) © CC BY-SA 3.0, Link

Wilayah Khurasan sekarang merangkumi wilayah timur laut Iran, bahagian Afghanistan dan bahagian selatan Asia Tengah, termasuk Turkmenistan. Wilayah Khurasan (Khorasan) raya atau kota Khurasan dikenali sebagai kota tempat lahirnya beberapa ulama dan ilmuwan Islam.

Siapakah ulama-ulama yang berasal dari wilayah ini? Ini tiga tokoh ilmuwan Islam dari Khurasan.

Imam Muslim, muhaddis tersohor Islam

Nama asal bagi Imam Muslim ialah Abul Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairi an-Naisaburi (lahir 821 Masihi bersamaan 202 atau 206 Hijrah). Beliau dilahirkan di Kota Naisabur (Nishapur) yang merupakan sebahagian daripada wilayah khalifah Abbasiyah Khurasan, sekarang di timur laut Iran.

Imam Muslim adalah seorang muhaddis atau ahli hadis yang sangat terkenal dalam tradisi dan dunia Islam. Beliau juga merupakan pengarang bagi kitab Sahih Muslim yang merupakan salah satu kitab hadis dalam Kutub Sittah, (Enam Buku yang sahih) iaitu enam buah kitab hadis utama yang menjadi rujukan dalam dunia Islam.

Selain kitab Sahih Muslim, Imam Muslim turut mengarang beberapa kitab agung yang lain seperti Al-’Ilal, Auhamul Muhaddithin, Al-Musnad Al-Kabir ‘Ala Asma’ Ar-Rijal dan beberapa kitab lain. Beliau meninggal dunia di kota yang sama ketika berumur 53 tahun.

Imam An-Nasaie, tokoh ulama hadis 

Nama sebenar Imam AnNasaie ialah Abu Abdirrahman Ahmad ibn Syu’aib ibn Aliy ibn Sinan ibn Bahr al-Khurasani. Beliau lahir pada tahun 829 Masihi (214 atau 215 Hijrah) di bandar Nasa’ atau Nisa, sekarang di Turkmenistan, yang juga merupakan sebahagian daripada wilayah Khurasan pada ketika itu.

Imam An-Nasaie juga adalah antara salah seorang muhaddis Islam. Beliau juga merupakan pengarang bagi salah satu kitab hadis dalam Kutub Sittah. Imam An-Nasaie mengarang kitab Sunan Al-Sughra yang juga lebih dikenali sebagai Sunan An-Nasaie.

Selain daripada Sunan Al-Sughra, beliau juga mengarang beberapa kitab yang lain seperti Sunan Al-Kubra, Al-Khasais, Fadhail Al-Sahabah dan Al-Manasik.

Jabir Ibnu Hayyan atau Geber, Bapa Kimia 

Jabir Ibn Hayyan Al-Azdi, kadang-kadang disebut al-Harrani dan al-Sufi, dilahirkan di Bandar Tous (Tus) yang merupakan sebahagian daripada wilayah Khurasan (lahir 721 Masihi).

Di Eropah, Jabir Ibnu Hayyan dikenali dengan nama Geber. Jabir merupakan anak kepada seorang pembuat ubat-ubatan yang tinggal di Kufah, Iraq. Beliau telah menyempurnakan beberapa proses dalam ilmu kimia seperti penyulingan, pencairan, penghabluran dan juga penyejatan.

Jabir Ibnu Hayyan bertanggungjawab memodenkan kaedah penyelidikan dalam bidang kimia. Buku karangannya yang paling terkenal ialah Kitab Al-Kimya’ yang bermaksud buku atau panduan kimia.

Jabir Ibnu Hayyan diiktiraf sebagai Bapa Kimia disebabkan sumbangan besarnya dalam bidang kimia dunia. Keilmuannya dalam bidang kimia bukan sahaja diakui dalam dunia Islam, tetapi juga di negara-negara Barat.

Wilayah Khurasan tempat lahir tokoh-tokoh Islam

Tiga orang ilmuwan ini adalah antara nama-nama besar tokoh Islam yang berasal dari wilayah Khurasan. Sejak dari dahulu, kota Khurasan dikenali sebagai antara kota ilmu di mana berkembangnya tradisi keilmuan dengan subur.

Sifat dahagakan ilmu serta suasana masyarakat di wilayah Khurasan menjadikan ia sebagai salah satu kota tempat lahirnya ilmuwan Islam.