Kepayahan Itu Satu Ujian, Kebahagiaan Juga Satu Ujian

Sahsiah Nor Syariza Tahir 22-Jul-2019
love and sun

Setiap daripada kita pasti pernah melalui pahit getir ujian dan dugaan, kepayahan menghadapi cabaran hidup serta kesedihan yang sukar dilupakan.

Bukan itu sahaja, pasti kita juga pernah mengalami saat-saat bahagia, nikmat kegembiraan apabila mendapat apa yang dihajati serta rasa manisnya kehidupan apabila memperoleh banyak kesenangan.

Kesemua situasi di atas adalah sebenarnya ujian yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada kita, hamba-hambaNya, untuk menduga kekuatan iman dalam hati kita.

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Anbiya’, ayat 35 yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Ayat ini memberitahu kita bahawa ujian daripada Allah bukan sekadar datang dalam bentuk kepayahan atau kesedihan.

Dia juga akan menguji kita melalui pelbagai nikmat, kebahagiaan dan kesenangan untuk melihat sama ada kita akan menjadi hambaNya yang bersyukur atau kufur dengan nikmat yang diberikan.

Pernahkan anda mengalami situasi di mana anda sering diuji dengan kepayahan dan pelbagai masalah sehingga kadangkala membuatkan anda berasa seperti dunia ini tidak adil kerana hidup anda tidak seindah kehidupan orang lain?

Perasaan ini tidak sepatutnya terdetik sama sekali dalam hati kita kerana ia seolah-olah kita menyalahkan Allah atas apa yang berlaku kepada diri kita.

Sebaliknya, sebagai seorang hambaNya yang bertaqwa, kita hendaklah menganggap setiap kepayahan itu sebagai ujian daripada Allah untuk mengajar kita erti sabar dan erti berusaha serta tidak berputus asa terhadap apa yang kita mahukan.

Percayalah kepada janji-janji Allah kepada orang yang sabar, bahawa nikmat sabar itu amat indah dan hanya Dia yang Maha Mengetahui akan hikmah di sebalik setiap ujian yang menimpa hambaNya.

Begitu juga Allah mengajarkan kita sebagaimana firmanNya: “Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’. Mereka itulah orang yang mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157).

Selepas kita berjaya melalui segala kepayahan dan bersabar dengan ujian Allah, Dia akan menduga keimanan kita melalui ujian berbentuk nikmat dan kesenangan pula.

Firman Allah dalam surah Az- Zumar, ayat 49 yang bermaksud: “Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”

Pada keadaan inilah kita seringkali tewas. Tewas dengan hasutan hawa nafsu dan godaan kesenangan dunia sehingga membuatkan kita lupa dan jauh daripada Dia, seperti yang diterangkan dalam ayat al-Quran di atas.

Sedangkan kita perlu ingat bahawa Allah S.W.T. akan sentiasa menguji hamba-hambaNya untuk melihat sejauh mana keteguhan iman kita.

Disebabkan itulah, ramai daripada kita yang tewas, sombong dengan Allah, kufur dengan nikmat, sehingga menjadi jauh daripadaNya.

Dan sesungguhnya, jika kita ialah orang yang sedemikian, maka kita terdiri dalam kalangan hamba-hambaNya yang rugi.

Jadi, bagaimana untuk memastikan bahawa kita tidak termasuk dalam golongan sedemikian?

Jawapannya, adalah kita hendaklah sentiasa bersabar dan bersyukur dengan setiap ujian, menjaga solat dan memelihara hati daripada perasaan-perasaan yang tidak elok.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 45 yang bermaksud: “Carilah pertolongan kamu daripada sabar dan solat. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk.”

Justeru itu, janganlah sesekali kita menganggap ujian itu sebagai satu bentuk seksaan, hukuman mahupun ganjaran yang akan berkekalan.

Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W. dan para anbiya’ yang lain pun diuji dengan pelbagai ujian yang lebih dahsyat, apalah sangat ujian yang menimpa kita, sebagai insan biasa ini.

Jadi, selepas ini, jika kita diuji dengan nikmat atau kesusahan, teruskan bersabar, jaga hubungan kita dengan Allah dan pelihara hati dan jiwa daripada melakukan sesuatu yang menjejaskan keimanan kita.

Semoga semua pembaca terdiri daripada golongan hamba-hambaNya yang bertaqwa dan bersabar.

Foto: Bruce Mars, Abdullah Ghatasheh, Hassan Ouajbir & Pixabay (Pexels)