Kepelbagaian budaya dari pengamatan Islam

© raksyBH | Dreamstime.com

Kemajmukan bangsa dan rampaian budaya telah memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah negara. Ia digambarkan sebagai suatu persekitaran kawasan dengan masyarakat etnik campuran di mana wujud banyak amalan-amalan dan tradisi budaya. Ketiadaan unsur ini pula telah menghalang sesebuah negara mencapai tahap kemakmuran yang serupa. Integrasi masyarakat menjadi agenda penting dalam menyampaikan mesej perpaduan dan kedamaian kepada seluruh manusia. Bagi umat Islam, mesej ini telah diamalkan semenjak masa Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda).

Keanekaragaman budaya adalah sebuah idea utama Islam. Kesemua para Nabi terdahulu juga menyeru umatnya agar sentiasa berurusan antara satu dengan yang lain meski pun terdapat perbezaan agama. Mukjizat agung Al-Quran dalam surah 49, Al-Hujuraat, ayat 13 menerangkan: ‘Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.’

Tuhan telah mencipta berbagai makhluk di segenap duniaNya yang berbagai jenis, asal usul, bangsa dan agama. Kerana itu, manusia telah diajarkan konsep toleransi agar keamanan, bukan pertikaian, dapat diperbanyakkan di muka bumi. Baginda Nabi menekankan kedudukan penting dalam mewujudkan kesatuan sesama keluarga dan para sahabatnya. Nilai berharga perpaduan itu membentuk persaudaraan, mendukung keadilan, memelihara kesaksamaan dan seterusnya secara semula jadi membina kehidupan yang aman bahagia. Panduan yang ditinggalkan oleh baginda yang berupa ucapan dan tindakannya juga sudah memadai untuk umat manusia seluruhnya.

Jelas, agama Islam menekankan bahawa perbezaan di antara manusia harus diterima dan disambut baik, bukannya dipandang sebagai hukuman. Masyarakat berupaya memperoleh manfaat sebenar yang berbagai rupa dan bentuk apabila kumpulan etnik dan budaya yang berlainan bekerjasama sehati sejiwa. Ini akan melahirkan identiti masyarakat yang berkembang pesat dari masa ke masa, dan menggabungkan pengaruh budaya yang berbeza menjadi satu. Oleh itu, keinginan sesebuah negara untuk menerima budaya yang multikultural adalah penting dan bijak.

Bagi negara-negara bermajoriti Muslim, adakah kita telah sama sekali mencontohi watak Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda) ketika berurusan dengan golongan bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam? Untuk memahaminya, kita harus mengaitkan rasa hormat dan bertolak ansur terhadap orang lain oleh baginda Nabi sebagai bukti ketakwaan yang seharusnya menjadi contoh bagi semua orang. Malaysia misalnya, telah mendapat banyak manfaat daripada nilai toleransi sebegini dengan terus menghidupkan masyarakat yang majmuk.

Melalui Al-Quran, surah Ar-Rum (30) ayat 22, firmanNya berbunyi: ‘Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.’ Surah ini menegaskan bahawa kepelbagaian adalah sebahagian daripada ciptaan Tuhan, dan untuk mengenalinya adalah umpama memperolehi sifat-sifat murni dan ilmu pengetahuan. Ini mengesahkan pengajaran dasar agama yang menyarankan kita menyantuni golongan bukan Islam secara benar dan adil.

Cabaran yang ada di Malaysia adalah bagaimana untuk menyeimbangkan kepentingan yang berbagai dari kumpulan etnik yang berbeza. Masyarakat Muslim di Malaysia harus memahami tuntutan keadilan dan toleransi. Berlapang dada, bertolak ansur dan mencapai keseimbangan yang dianjurkan dalam Islam adalah berkenaan dengan urusan-urusan harian. Ini termasuk memperagakan moral yang baik ketika berkomunikasi dengan masyarakat bukan Islam. Masyarakat awam biasanya terbuka untuk bersifat dinamik apabila tadbir urus yang baik datang dari penambahbaikan berterusan dalam bidang pentadbiran, beserta perlaksanaan dan pengubahsuaian undang-undang yang adil dan saksama.

Kepelbagaian dunia itu sendiri adalah salah satu hukum alam; ia bukan sesuatu yang boleh dibuat oleh manusia. Melalui petikan Al-Quran yang telah kita ketahui tadi, ternyata keanekaragaman ini dicipta Yang Maha Berkuasa agar kita mendapat manfaat darinya. Ia boleh difahami sebagai jaminan bahawa kita boleh hidup bersama dalam damai dan harmoni, dengan masyarakat yang berlainan bangsa dan agama. Ia berkembang maju dengan mengetepikan perselisihan dan menekankan lebih banyak mengenai konsep perpaduan dan persaudaraan. Oleh itu, percayalah bahawa Islam akan sentiasa menjadi agama yang mengekalkan kelunakan dan kebersamaan dalam masyarakat dunia.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!