Kepentingan beratur – itu tandanya kita hormat!

Budaya 17 Mac 2021 Adea Ghafar
Pendapat oleh Siti Suriani Othman
Kepentingan beratur - itu tandanya kita hormat!
Kepentingan beratur - itu tandanya kita hormat! © Holger Kleine | Dreamstime.com

Sekumpulan orang yang beratur – mereka disebut ada dalam barisan (queue penggunaan Inggeris) atau garis (line penggunaan Amerika) – dan mereka menunggu atau berdiri dalam barisan untuk sesuatu tujuan. Beratur perlukan disiplin, ia mencerminkan rasa hormat.

Artikel ini akan membincangkan kepentingan beratur sebagai amalan penting umat Islam.

Kepentingan beratur sebagai manusia yang berdisiplin

Saya pernah melanjutkan pelajaran di Nottingham, England dan menetap di sana selama empat tahun. Saya juga pernah tinggal di Xiamen, China selama dua bulan sebagai profesor pelawat dalam bidang kewartawanan.

Tanpa merendahkan mana-mana budaya dan negara, saya berpeluang membandingkan amalan yang satu ini, iaitu beratur dalam kalangan masyarakat di kedua-dua negara.

Secara amnya di United Kingdom, tidak beratur atau memotong barisan itu kesalahan yang sangat hina kerana tidak menghormati orang lain. Ini dilihat sebagai sangat mementingkan diri sendiri. Di China, agak biasa saya ditolak ketika hendak menaiki bas.

Pengalaman sebegini mendewasakan seseorang, dan hakikat itu sangat benar.

Mengapa perlunya umat Islam beratur?

Beratur adalah perkara yang mudah. Sebagai umat Islam, beratur adalah satu amalan yang amat penting. Bukan sahaja ia mencerminkan imej Islam kepada masyarakat, tetapi juga ia melambangkan tahap disiplin umat serta mempamerkan sikap hormat-menghormati yang tinggi sesama manusia.

Tidak memotong barisan adalah meletakkan hak seseorang pada tempatnya. Itulah yang dituntut Islam dan itulah yang harus kita rai serta amalkan. Itu jugalah yang mencerminkan dan mengindahkan akhlak Islam.

Bercakap soal hak, Rasulullah SAW sendiri amat mementingkan hak orang lain. Mana mungkin jika Rasulallah beratur, Baginda memotong barisan! Itu amat bertentangan dengan sifat Baginda yang sentiasa berusaha meningkatkan status seseorang dalam segala urusan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam, dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’, ayat 70)

Beratur itu berdisplin, menghormati

Konsep beratur bukan hanya berkait dengan disiplin tetapi juga menghormati orang lain seperti yang sentiasa ditegaskan dalam Islam:

Firman Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 18:

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah atau sombong) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri.”

Jaga perbuatan dan jaga hati, itulah amalan muslim sejati.