Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kepentingan wakaf pendidikan – mengembangkan modal insan Muslim cemerlang

Islam 07 Feb 2021
Terkini oleh Md Wa'iz
Kepentingan wakaf pendidikan - mengembangkan modal insan Muslim cemerlang
Kepentingan wakaf pendidikan (foto: Madrasah Al-Junied, Singapura) © infaqmadrasahaljunied.sg

Wakaf menjadi salah satu daripada amal kebajikan yang berkekalan walaupun telah meninggal dunia. Kita biasa mendengar mengenai wakaf tanah atau bangunan, tetapi pernahkah kita mendengar mengenai wakaf pendidikan?

Ini kepentingan wakaf pendidikan.

Wakaf pendidikan dalam Islam

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis wakaf yang wujud pada zaman sekarang. Salah satunya ialah wakaf pendidikan. Namun, ia bukanlah jenis wakaf yang baharu.

Masjid merupakan antara contoh institusi pendidikan wakaf yang terawal dalam Islam. Bukan itu sahaja, sejarah Islam telah membuktikan kewujudan pelbagai institusi pendidikan wakaf yang berkekalan sehingga hari ini.

Antaranya ialah Universiti Al-Azhar di Mesir, Madrasah Al-Junied di Singapura dan Universiti Cordoba di Andalusia.

Sejarah pendidikan wakaf di Malaysia

Sejak kehadiran Islam ke Tanah Melayu, sistem wakaf pendidikan ini telah dikembangkan dan kewujudannya masih bertahan sehingga ke hari ini.

Antara jenis wakaf pendidikan yang wujud di Malaysia ialah wakaf asrama, wakaf biasiswa pendidikan, wakaf bangunan, dan wakaf alat-alat pembelajaran.

Kebanyakan institusi-institusi pendidikan juga didirikan di atas tanah-tanah yang diwakafkan. Antara institusi terkenal yang diwujudkan berasaskan sistem wakaf pendidikan ialah:

  • Maktab Mahmud di Kedah
  • Kolej Islam Malaya di Klang
  • Maahad Ihya Al-Syarif di Perak
  • Madrasah Arabiah di Johor

Selain itu, kebanyakan sekolah-sekolah pondok yang wujud di negara ini juga adalah berasaskan sistem wakaf.

Kepentingan sistem wakaf pendidikan

Antara kepentingan sistem wakaf dalam pembangunan pendidikan ialah:

Menyediakan premis dan kemudahan untuk tujuan pendidikan

Sebuah institusi pendidikan semestinya memerlukan bangunan atau permis untuk dijadikan pusat utama kegiatannya.

Institusi pendidikan memerlukan bangunan untuk digunakan sebagai dewan, kelas, bilik kegiatan guru atau pensyarah serta pejabat pentadbiran.

Menyediakan tanah sebagai tapak institusi pendidikan

Wakaf tapak atau wakaf tanah boleh menyediakan sesebuah institusi itu dengan tapak untuk membangunkan fasiliti pelajar.

Antara fasiliti atau kemudahan yang boleh dibangunkan ialah seperti asrama pelajar, dewan makan serta kemudahan lain seperti surau dan padang sukan.

Melengkapkan fasiliti institusi melalui wakaf

Bagi mereka yang mungkin tidak berkemampuan untuk mewakafkan sebidang tanah, kita juga boleh mewakafkan kemudahan untuk keselesaan pelajar.

Antara contoh wakaf peralatan ialah seperti mewakafkan pendingin hawa, kipas, lampu, mesin penapis air minuman, kerusi, meja, buku rujukan serta alat tulis.

Wakaf tunai untuk memastikan institusi terus beroperasi

Untuk memastikan kelestarian institusi pendidikan yang telah diwujudkan, kita juga boleh menyumbang melalui wakaf tunai.

Wakaf tunai boleh digunakan bagi membayar gaji staf pentadbiran, tenaga pengajar, membiayai makan minum pelajar serta membayar bil elektrik dan juga air.

Memberikan keuntungan kepada Islam

Wakaf pendidikan sememangnya memberikan keuntungan yang sangat besar kepada Islam. Wakaf pendidikan mampu untuk mengembangkan modal insan Muslim yang berpotensi menjadi ilmuan yang hebat.

Ada sesetengah kanak-kanak atau remaja yang berpotensi terpaksa menghentikan pembelajaran mereka disebabkan faktor kemiskinan.

Namun, dengan kewujudan wakaf pendidikan, kita dapat merealisasikan impian kanak-kanak tersebut sehingga menjadi individu yang berjaya.