Keperibadian mulia Ustaz Ebit Lew

Sahsiah Abi Aasim 23-Apr-2020
Ustaz Ebit Lew (kanan) menyantuni masyarakat © instagram.com/ebitlew

Baru-baru ini,  setelah tular di media sosial tentang seorang warga kelainan upaya dipakaikan topeng muka oleh seorang askar ketika keluar membeli barangan keperluan harian, perhatian saya kembali tertumpu kepada Ustaz Ebit Lew. Akibat tularnya video yang dikongsikan itu, beliau terus menziarahi warga kelainan upaya tersebut.

Beberapa hari sebelum itu juga, sudah tular kisah Ustaz Ebit Lew membantu sebuah keluarga gelandangan mendapatkan tempat tinggal baharu. Mulianya hati beliau yang terus membantu menyediakan rumah untuk keluarga tersebut berteduh meneruskan kehidupan. Malah beliau tidak berkira sedikitpun untuk membiayai sewa rumah mereka.

Sebenarnya saya langsung tidak terkejut dengan tindakan Ustaz Ebit Lew itu. Saya bukanlah kenalan beliau, tetapi memang selalu mengikuti perkembangannya di kaca televisyen dan juga media sosial. Saya berpeluang untuk berjumpa dengan Ustaz Ebit Lew sekitar tahun 2013 setelah menghadiri program ceramah yang diadakan di masjid kawasan perumahan tempat saya tinggal ketika itu.

Seperti mana yang saya lihat keperibadian beliau sewaktu menyampaikan ceramah, di televisyen dan media sosial, begitu jugalah beliau sewaktu berjumpa secara berhadapan. Tutur suara dan percakapannya cukup lemah lembut.

Malah memang riak wajahnya selalu tersenyum setiap masa. Memang sejuk dan tenang rasanya mendengar ceramah dan melihat wajah beliau. Sewaktu berjumpa beliau, sempatlah beliau berpesan untuk sentiasa mengamalkan kehidupan keluarga berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Beliau juga selalu berpesan untuk sentiasa ambil masa berkumpul bersama-sama keluarga dan membaca hadis di rumah setiap hari.

Yang paling saya suka akan Ustaz Ebit Lew ini ialah pendekatan beliau yang sangat lemah lembut ketika berdakwah. Beliau sanggup keluar pada malam hari ke ibu kota di kawasan-kawasan yang orang lain anggap kawasan ‘jijik’. JIka kebiasaannya orang akan terus menghukum dan mengeji mereka yang terlibat dengan aktiviti kurang bermoral, Ustaz Ebit tidak begitu.

Dalam salah satu video yang saya tonton, Ustaz Ebit menghampiri sekumpulan remaja lelaki dan perempuan yang sedang melepak. Beliau menghampiri mereka dengan penuh kasih sayang. Remaja-remaja itu juga senang menerima kehadiran beliau. Sambil bersembang mesra, beliau sempat berdakwah dan mengingatkan para remaja tersebut untuk tidak meninggalkan solat.

Begitu cantik dan terpuji ciri-ciri diri dan perwatakan Ustaz Ebit Lew. Saya berdoa dan berazam semoga satu hari nanti saya juga dapat mengikuti jejak langkah beliau dalam menyemarakkan usaha dakwah di negara ini.

Saya juga amat berharap lebih ramai pendakwah-pendakwah lain dan juga ikon-ikon Islam negara kita dapat mengikuti pendekatan yang dibawa oleh Ustaz Ebit Lew dalam menyampaikan dakwah di negara kita. Semoga usaha kita untuk menghidupkan kerja-kerja dakwah Islamiah ini diberkati dan diredai Allah SWT.