Kepulangan Patung Berpuaka Dalam Annabelle Comes Home

Bagi peminat filem seram, terutamanya yang mengikuti filem-filem hasil karya James Wan, pastinya anda tidak akan ketinggalan untuk menonton karya terbaharunya, Annabelle Comes Home yang ditulis bersama Gary Dauberman.

Filem ketiga dalam francais Annabelle selepas kejayaan Annabelle (2014) dan Annabelle Creation (2017) itu melengkapkan lagi kisah misteri patung berpuaka yang mula diperkenalkan dalam filem Conjuring itu.

Masih mengekalkan pelakon yang sama dalam francais Conjuring, Patrick Wilson (sebagai Ed Warren) dan Vera Farmiga (sebagai Lorraine Warren) ialah pasangan suami isteri yang terkenal sebagai penyiasat aktiviti paranomal.

Bagaimanapun, Annabelle Comes Home lebih mengetengahkan watak anak perempuan mereka, Judy (dilakonkan oleh Mckenna Grace) yang sedang meningkat remaja.

Ternyata Judy, seorang gadis yang berusia 10 tahun mewarisi kelebihan ibunya yang boleh mendapat ‘visi’ mengenai sesuatu perkara yang akan atau telah terjadi.

Membesar sebagai anak tunggal kepada pasangan yang mempunyai kerjaya yang menjadi kontroversi di seluruh negara, kehidupan Judy ternyata berbeza dengan kanak-kanak lain, di mana dia boleh melihat roh orang yang telah mati selain disisihkan oleh rakan-rakannya di sekolah.

Dua lagi watak yang menjadi teraju utama dalam Annabelle Comes Home, Mary Ellen (lakonan Madison Iseman), pengasuh Judy dan rakan baiknya, Daniela (lakonan Katie Sarife) turut diperkenalkan dan dikembangkan dengan baik.

Sudah pasti para penonton akan menyalahkan dan membenci watak Daniela kerana sikap ingin tahu yang membuak-buak gadis itu telah menyebabkan dia membebaskan kesemua puaka daripada artifak-artifak yang dirasuk yang telah disimpan rapi selama bertahun-tahun dalam bilik rahsia keluarga Warren.

Di situlah satu demi satu puaka dengan kisah misteri masing-masing menjelma kembali dan mengganggu ketiga-tiga gadis tersebut, hanya dalam satu malam.

Dan di sini juga penonton boleh melihat bagaimana Judy yang dahulunya dikenali sebagai seorang kanak-kanak kecil yang comel, kini telah semakin dewasa dan bijak menghalau puaka-puaka yang menggangunya berbekalkan kelebihan yang diwarisi daripada ibu bapanya.

Jadi, bagi yang benar-benar mengikuti kesemua francais filem seram Conjuring, terpulang kepada anda untuk membandingkan tahap keseraman karya terbaharu ini dengan yang sebelumnya.

Dipersembahkan oleh New Line Cinema, produksi Atomic Monster/Peter Safran Production ini diedarkan di kesemua pawagam IMAX oleh Warner Bros. Pictures.

Ia mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 27 Jun 2019.

Foto: Twentieth Century Fox Film & Trailer Annabelle Comes Homes