Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kepulauan hutan paya bakau kedua terbesar di dunia terletak di Johor

Alam Sekitar 21 Jan 2021
Pilihan oleh Hanita Hassan
Kepulauan hutan paya bakau kedua terbesar di dunia terletak di Johor
Kepulauan hutan paya bakau kedua terbesar di dunia terletak di Johor © johornationalparks.gov.my

Mungkin anda terkejut apabila mengetahui bahawa kepulauan hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia terletak di Taman Negara Johor Pulau Kukup, Pontian, Johor.

Terletak di perairan barat daya Johor iaitu di antara Selat Kukup dan Selat Melaka.

Kepulauan paya bakau kedua terbesar dunia 

Terdapat 18 spesies bakau asli dan bakau berkaitan di Taman Negara Johor Pulau Kukup.  Antaranya seperti Tumu Merah, Api-api Putih, Pial Lasa, Lenggadai dan Nyireh Batu. Manakala 12 bakau berkaitan meliputi Dungun, Rotan Bakau dan Pakis Langsoyar.

Lima pokok bakau jenis Berus Mata Buaya diklasifikasi spesies pokok terancam. Pokok-pokok bakau yang tumbuh di sini memberi perlindungan dan makanan kepada ikan, ketam, udang dan haiwan lain.  Selain bertindak sebagai sumber hidup para nelayan.

Berminat berkunjung ke Taman Negara Johor Pulau Kukup, hubungi pihak pengurusan.  Perjalanan anda semasa di sini pasti akan menjadi detik terindah melihat keindahan ciptaan Allah SWT.

Jika anda berkenderaan dari Kuala Lumpur, ia akan melalui perjalanan sejauh kira-kira 318 kilometer untuk sampai ke Pontian.  Kemudian untuk ke Pulau Kukup anda perlu menaiki bot selama 10 minit perjalanan dari jeti perkampungan nelayan masyarakat Cina.  Kawasan ini telah dibangunkan sejak 150 tahun. Rata-rata aktiviti penduduk adalah perikanan, perniagaan, pelancongan serta pengangkutan.

Mengikut sejarah penduduk tempatan, perkataan Kukup berasal daripada perkataan ‘Gugup’. Ia disebabkan ketakutan masyarakat setempat dengan serangan daripada lanun. Tidak kurang juga yang mengaitkan Kukup dengan perkataan ‘Telungkup’.  Ia kerana banyak perahu nelayan ditelungkupkan lanun yang aktif menjalankan aktiviti rompakan di perairan Selat Melaka.

Menikmati alam anugerah Allah SWT

Berkeluasan 1,447 hektar dengan kawasan hutan bakau seluas 647 hektar.  Kawasan tanah berlumpur adalah seluas 800 hektar.  Negeri Johor mempunyai tiga kawasan yang diisytiharkan Tapak Ramsar (tanah lembap) –  Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup.  Ia telah diwartakan sebagai taman negara sejak 27 Mac 1997.  Pulau Kukup mula dikunjungi ramai bermula tahun 2003.

Pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan terdapat di sini.  Ia adalah api-api (Avicennia), bakau (Rhizophora), perepat (Sonneratia) dan berus / tumu (Brugulera).  Ia juga penempatan kepada tujuh spesis mamalia.  Antaranya kera, keluang, babi hutan dan memerang.  Begitu juga dengan spesis reptilia seperti biawak air, ular kapak bakau serta ular katang tebu.

Lumpur yang terdapat di pulau ini memberi kehidupan kepada pelbagai spesis ketam nipah, tiram, ketam rebab dan siput mata merah.  Di sinilah habitat burung-burung air dan burung-burung hijrah singgah.  Antaranya Kedidi Kaki Merah, burung Botak, Kedidik Pasir dan Pucong Seriap.

Pemandangan hutan bakau boleh dinikmati dengan berjalan di pelantar kayu sepanjang 600 meter.  Anda berpeluang melihat pelbagai pokok bakau, flora dan fauna, ketam kecil berwarna merah, ikan belacak tompok atau ikan tembakul.  Jika menaiki bot di Sungai Ular menjanjikan suasana damai.  Anda boleh menyaksikan burung Botak beraksi.

Rancanglah percutian untuk melawati keindahan alam anugerah Allah SWT ini, ia pasti menjanjikan kepuasan dan terasa tenang bebas dari hiruk pikuk bandar raya. Menikmati keindahan alam ini dapat memberi ketenangan minda dan menghargai nikmat dari Allah serta mengingatkan kita akan kebesaran-Nya.