Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Keputusan peperiksaan yang menyebabkan kemurungan, bagaimana mengatasinya?

Pendidikan 18 Dis 2020
Hagnas
Keputusan peperiksaan yang menyebabkan kemurungan, bagaimana mengatasinya?
Keputusan peperiksaan yang menyebabkan kemurungan, bagaimana mengatasinya? © Liphin Ho | Dreamstime.com

Pada musim peperiksaan, ramai dalam kalangan anak-anak mengalami tekanan disebabkan peperiksaan yang terpaksa dihadapi. Tekanan sewaktu membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Tertekan apabila mendapat keputusan yang kurang memuaskan dan juga apabila dipandang rendah oleh kawan kawan-kawan, guru atau ibu bapa. Tekanan yang membawa kepada kemurungan ini hendaklah diambil berat dan segera dirawat.

Mengatasi tekanan dengan pendidikan keimanan

Kita haruslah mendorong anak-anak supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Islam menyuruh penganutnya berusaha sebaik mungkin diikuti dengan sabar dan solat.

Setelah berusaha dan melakukan yang terbaik, serahkanlah kepada Allah SWT apa jua hasilnya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Menerapkan keimanan pada takdir Allah membantu mengelakkan tekanan.

Sentiasa ingatkan anak-anak bahawa kita hendaklah berusaha sebaik mungkin dalam semua perkara bukan hanya dalam peperiksaan sahaja. Dalam bab ibadah dan akhlak juga haruslah berusaha sebaik mungkin.

Memberi sokongan psikologi

Apabila menerima keputusan peperiksaan daripada anak-anak, cuba kawal emosi andainya keputusan tersebut tidak seperti yang kita harapkan. Jangan pamerkan kekecewaan kita di depan mereka. Berikan kata-kata galakan seperti:

“Teruskan usaha, InsyaAllah kita akan berjaya.”

“Ibu tahu kamu sudah cuba sehabis baik, tak apa, periksa seterusnya kita cuba lagi ya! “

Ibu bapa juga boleh menerangkan bahawa peperiksaan ini bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup. Banyak lagi ruang dan peluang dalam kehidupan. Semestinya kita mahukan mereka fokus dan target yang terbaik, tetapi kita juga mahu mereka belajar dalam keadaan gembira bukannya tertekan dan sedih.

Menggambarkan hakikat kehidupan

Anak-anak harus sentiasa diingatkan kenapa kita diciptakan. Seperti mana dalam firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat ayat 56:

“ Tidaklah kami ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.”

Persaingan dalam pembelajaran merupakan perkara yang bagus, cuma bila anak-anak kelihatan tertekan, ingatkanlah mereka bahawa perkara paling penting dalam kehidupan ini ialah agama. Maka bandingkanlah diri mereka dalam hal agama untuk menjadi yang terbaik.

Kehidupan ini adalah ujian. Ujian untuk melihat manusia manakah yang paling baik amalannya. Setiap ujian yang dilalui dengan sabar akan diganjari pahala yang besar.