Kerajaan digesa berbincang tentang isu pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK)

Uncategorized MAS 26-Dis-2019
Hospital Shah Alam
© Hendrik Sulaiman - Dreamstime.com

Berikutan isu pemansuhan BIPK, wakil petugas kesihatan sektor awam menggesa kerajaan supaya mengadakan perundingan bersama terlebih dahulu. Gesaan dibuat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) hari ini.

Presiden MMA, N Ganabaskaran memaklumkan tiada perbincangan diadakan terlebih dahulu sebelum keputusan pemansuhan diambil. Beliau berpendapat keputusan berkenaan sebagai kurang adil kerana tidak mengambil pandangan mereka sebagai pemegang taruh. Terdahulu, banyak isu berkaitan perubatan yang dapat diselesaikan berikutan berlakunya perundingan bersama. Oleh itu, beliau berharap perkara ini juga dapat diselesaikan di meja perundingan.

Ganabaskaran juga berpandangan pemansuhan tersebut tidak sesuai dilaksanakan sekarang akibat kos sara hidup yang kian meningkat. Rasional di sebalik pemansuhan elaun tersebut juga sukar diterima memandangkan sistem penjagaan kesihatan masih kritikal untuk pembangunan negara.

Sementara itu, Presiden MNU, Nor Hayati Abd Rashid mendesak supaya kerajaan menimbang semula keputusan tersebut. Menurutnya, elaun tersebut berhak dinikmati bakal jururawat yang akan mula berkhidmat tahun depan.

Jika pemansuhan diteruskan, ia akan mewujudkan diskriminasi antara jururawat baru dengan mereka yang masih kekal menerima elaun berkenaan. Oleh kerana kedua-duanya memiliki bidang tugas yang sama, adalah tidak adil jika jururawat baru tidak menerima elaun tersebut. Ia juga mempunyai kesan psikologi yang mampu mengurangkan semangat berpasukan di kalangan mereka. Malah, mungkin terdapat mereka yang akan meletak jawatan daripada perkhidmatan awam untuk menyertai sektor swasta.

Menurut Menteri Kesihatan, pihak kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kadar segera. Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihak kementerian akan diwakili Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. Turut sama dalam perundingan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.