Kerja rumah, tanggungjawab suami atau isteri?

Kehidupan Chan Abdullah 04-Sep-2020
dreamstime_s_176599355
Kerja rumah, tanggungjawab suami atau isteri? © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Dalam kehidupan berumahtangga, suami dan isteri perlu saling sepakat dalam apa jua yang dilakukan bersama terutamanya dalam melaksanakan kewajipan masing-masing. Suami dan isteri harus faham dan mengetahui tanggungjawab sendiri supaya keadaan berat sebelah sama sekali tidak berlaku hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kehidupan berumahtangga.

Rumahtangga yang saling mengamalkan prinsip saling bertolak ansur antara suami dan isteri mampu mewujudkan rumahtangga yang harmoni. Jika suami memberi, isteri menerima dan begitulah sebaliknya. Dinyatakan dalam al-Quran bahawa suami hendaklah mengauli isterinya dengan cara yang baik.

Perkara ini boleh dilihat dalam surah al-Nisa, ayat 19, firman Allah SWT yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.

Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Acapkali ramai isteri yang terlihat sangat lelah dalam menguruskan kerja rumah. Boleh dikatakan isteri tiada rehat yang cukup disebabkan kerja yang tiada habis. Urusan mengemas rumah, memasak, menjaga anak-anak semua terletak di bahu isteri. Ini termasuklah bagi isteri-isteri yang bekerja.

Adakah skop kerja rumah ini sepenuhnya ke atas isteri? Adakah tanggungjawab sebenar isteri adalah melakukan kerja rumah dan dalam masa yang sama turut sama mengerah tenaga bekerja mencari rezeki. Para suami perlu tepuk dada tanya hati. Adakah suami telah melakukan tanggungjawab mereka yang sebetulnya dengan baik, atau langsung culas terhadap tanggungjawab tersebut.

Berikut adalah beberapa pandangan mengenai perkara-perkara ini:

Pandangan jumhur (majoriti) ulama

Jumhur ulama menyatakan bahawa suami wajib berkhidmat kepada isterinya yang tiada keupayaan dan kemampuan iaitu berada dalam keadaan keuzuran untuk menguruskan diri mereka sendiri. Ini kerana ianya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab suami.

Mazhab Maliki

Pada pandangan Mazhab Maliki pula, wajib ke atas seorang suami untuk menolong isteri mereka dalam keadaan suami berkemampuan dan isteri pula berada dalam kedudukan yang tidak sesuai untuk melakukan tugas tersebut kerana dengan melaksanakannya, ia boleh menyebabkan darjat kedudukan isteri berkurangan.

Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi berpendapat sekiranya isteri tidak mahu menguli tepung misalnya di mana isteri merasakan dia tidak sesuai untuk melakukan kerja tersebut, maka suami hendaklah menyediakan makanan yang telah siap iaitu tepung yang diuli. Namun, sekiranya isteri mampu membuat kerja tersebut maka tidak wajib ke atas suaminya untuk melaksanakan tugas itu.

Namun sebagai suami yang sayangkan isteri dengan sentiasa mengetahui tanggungjawab sebenar yang digalas dalam kehidupan sebuah rumahtangga, maka tugas kerja rumah boleh dibuat secara bersama-sama. Isteri pasti berasa senang jika suami faham keadaan mereka yang penat menguruskan segala urusan kerja rumah.

Justeru itu, untuk melahirkan sebuah rumahtangga yang harmoni, berkekalan hingga ke Syurga, suami isteri perlu saling memainkan peranan masing-masing dengan baik. Setiap pengorbanan dalam melayari kehidupan berumahtangga pasti memberikan keindahan.