Kerjasama: kebajikan yang hilang

Budaya Zalina Majid 03-Sep-2020
dreamstime_s_118660368
Kerjasama: kebajikan yang hilang © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Kerjasama adalah salah satu perkara yang semakin hilang di zaman ini. Ia merupakan siri kebaikan yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya. Setiap individu dalam masyarakat saling bekerjasama bagi mencapai tujuan tertentu.

Bekerjasama merupakan ciri kemanusiaan yang hebat serta terpuji. Ada di antara kita saling dibantu dan disokong. Oleh demikian, nilai hidup berdampingan, perasaan merasai dan berinteraksi sesama komuniti itu memberi kesan yang sangat besar.

Tidak syak lagi bahawa tolong-menolong adalah sifat terpuji dan Allah SWT menyuruh kita memeliharanya. Ini dijelaskan dalam surah al-Maidah, ayat 2, firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Kita hendaklah memperkasakan kualiti diri dalam bermasyarakat dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan. Sikap ini membuahkan kasih-sayang dan keharmonian tanpa membezakan sebarang perhubungan.

Masyarakat wajar membuang sifat-sifat tercela seperti terlalu mementingkan diri. Tentunya ia tidak menguntungkan. Sikap bekerjasama dapat menambah keyakinan dan motivasi kepada anggota masyarakat. Kita seharusnya tahu betapa pentingnya hidup bermasyarakat kerana ia membantu meningkatkan amalan memberi antara individu.

Tolong-menolong membantu kita mengapai kejayaan dan matlamat yang utama. Ia menyingkirkan kekotoran dan dosa dari hati, membentuk akhlak dan berperibadi mulia. Selain itu, sikap berkerjasama juga dapat menjimatkan masa. Ini kerana setiap usaha individu tidak tercapai dengan melakukannya secara bersendirian. Pencapaian yang cepat datang dari usaha yang paling banyak.

Pertolongan yang dihulurkan dapat dilihat dalam pelbagai sudut dan keadaan. Umpama usaha anak-anak membantu ibu bapa menguruskan rumah, si suami membantu isteri, pertolongan antara jiran tetangga, bantu-membantu antara rakan sekerja, anak-anak muda yang aktif membantu di peringkat pengajian serta golongan muda yang membantu golongan tua dan lain-lain lagi.

Kesemuanya dilakukan untuk kebajikan yang baik dan menghilangkan sifat malu. Perlu diingat, usaha sebegini perlu dilakukan tanpa mengenepikan adab. Seperti menutup keaiban setiap insan yang dibantu sedaya mampu.

Nilai sosial sebegitu wajar menjadi perhatian dan role-model kepada anak-anak agar mampu melahirkan generasi yang mampu memberi dan berkorban. Kerjasama hari ini adalah nilai yang semakin luput dan kebajikan yang sukar dikesan dalam kalangan masyarakat. Namun, kebaikan itu sentiasa kekal ada dan masih banyak contoh mereka yang menghargai kerjasama dan berusaha melaksanakannya.

Ringkasnya, kerjasama juga merupakan cara memajukan masyarakat mencapai kemakmuran dan tonggak kemajuan. Tujuannya hanyalah untuk menyebarkan kebaikan sesama manusia. Kita tidak mungkin bersikap positif jika kita tidak melahirkan sikap bekerjasama.