Kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund: Abang ipar putuskan hubungan dengan Samirah

Uncategorized MAS 24-Dis-2019

Saksi pendakwaan ke-18, Dr Abdul Aziz Hassan telah memutuskan sebarang hubungan dengan Samirah dan dua remaja lelaki. Abang kepada Allahyarham Nazrin Hassan itu, membuat keputusan tersebut selepas kes kematian adiknya diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Beliau dimaklumkan pihak bomba terdapat perbuatan khianat dalam kes berkenaan dan siasatan bunuh dibuka, Ogos lepas. Justeru itu, beliau bertindak memutuskan sebarang bentuk komunikasi termasuk menyekat nombor dan aplikasi WhatsApp.

Kenyataan dibuat ketika beliau menjawab pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Asnawi Abu Hanifah. Pendengaran kes dibuat di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

DPP: Bila Dr mendapat tahu ‘foul play’, kenapa putuskan hubungan dengan Samirah?

Dr Aziz: Saya merasakan bahawa orang yang disyaki ialah orang di dalam rumah; hanya Samirah, dua anaknya dan pembantu rumah.

Dr Aziz: Pada saya orang yang menjadi suspek utama Samirah dan anak-anaknya. Saya tidak mahu ada kaitan dengan suspek pembunuhan adik saya, sejak itu saya tidak menghubungi dia.

Saksi juga ditanya tentang reaksi dan perbualan bersama Samirah ketika bertemu di rumah mangsa pada 14 Jun, 2018. Aziz memaklumkan Samirah kelihatan sedih tetapi tidak menangis atau meraung.

Dr Aziz: Saya bertanya Samirah, is it true is he’s (Nazrin) gone (meninggal dunia)? Itu pertanyaan pertama kali berjumpa dia di bahagian dapur, dia menjawab it’s true he’s (Nazrin) gone.

Dr Aziz: Soalan kedua, saya bertanya, how did it happen? Dia mengatakan kemungkinan kebakaran disebabkan oleh telefon meletup.

Pada 15 Jun 2018, kebakaran dilaporkan berlaku dalam bilik tidur Nazrin yang mengakibatkan kematiannya. Kebakaran dipercayai berpunca daripada letupan telefon bimbit jenis Blackberry atau Huawei yang dicas berhampiran katil mangsa.

Namun, polis telah mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh pada 3 Ogos 2018. Ia dibuat berdasarkan laporan bomba serta laporan bedah siasat. Pada 12 Mac 2019, Samirah dan dua remaja lelaki bersama-sama seorang warga Indonesia didakwa bertanggungjawab dalam kematian Nazrin.