Kesan besar solat dalam kehidupan

Kesan besar solat dalam kehidupan © Leo Lintang | Dreamstime.com

Allah SWT menyeru kita melakukan solat untuk membimbing manusia supaya sentiasa menghargai dan menepati masa. Solat lima waktu sehari iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak mencegah kita melakukan perbuatan mungkar dan mendidik diri lebih berdisiplin mengatur jadual harian.

Solat adalah pintu keimanan dan keamanan.  Solat juga adalah pintu keselamatan dan kerahmatan serta pintu-pintu pahala dan keberkatan. Sekiranya kita mahu keberkatan hidup dan rezeki, keluarga serta harta atau apa sahaja, bersegeralah solat di awal waktu tanpa ada apa alasan sekali pun.

Biasanya Maghrib adalah waktu yang sangat pendek.  Sekiranya kita masih di tempat kerja, latih diri berhenti dan solat dahulu. Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, jika kita terlibat dengan kesesakan lalu lintas, singgahlah di mana-mana perhentian untuk mengerjakan solat terlebih dahulu.

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat baginda berkenaan masa untuk mendirikan solat.  Lantas, Baginda bersabda yang bermaksud:  “Solat pada awal waktunya.”  (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud)

Solat adalah petunjuk Allah SWT. Cukup masa, apabila azan berkumandang, bersegeralah kita melakukan solat tanpa melengahkannya.

Sepertimana firman-Nya dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya.”  (Surah An-Nisa, ayat 103)

Solat mengajar kita untuk bijak mengurus masa.  Solat juga menandakan kita adalah mukmin yang berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada Allah SWT. Sekiranya kita faham akan janji yang telah kita ikrarkan sewaktu membaca doa iftitah, kita pasti dan sewajarnya bertindak mengikut lunas agama dan bukan sebaliknya.

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”  (Surah al-An’am,  ayat 162)

Solat mendidik diri supaya teliti dalam melakukan apa jua perkara dalam kehidupan ini. Melihat kepada kisah khusyuknya Saidina Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah SAW ketika mendirikan solat.

Dikisahkan dalam satu pertempuran, beliau telah dipanah dan anak panah musuh terkena pada tubuhnya.  Anak panah itu cuba dicabut namun Saidina Ali berasa sangat sakit.  Kemudian ketika beliau sedang menunaikan solat sunat, sahabatnya sekali lagi cuba mencabut anak panah itu dan ternyata kali ini mereka Berjaya.

Ketika sahabat mencabut anak panah itu, Saidina Ali langsung tidak menyedarinya kerana terlalu khusyuk solat.  Lalu setelah beliau selesai sembahyang dan ditanyakan kepada sahabat perihal panah di tubuhnya.

Maka jawab sahabatnya:  “Anak panah itu sudah berjaya kami keluarkan daripada tubuhmu ketika kamu sedang mendirikan solat.”

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk.”  (Surah Al-Mukminum, ayat 1-2)

Solat adalah tiang agama.  Solat juga memberi kesan yang cukup besar dalam diri tanpa kita sedar. Sekiranya kualiti solat kita baik dan sempurna, maka baik dan sempurnalah seluruh hidup kita.