Kesan depresi terhadap fizikal dan cara mengatasinya

Kesejahteraan Mental Hannan
Hannan
Kesan depresi terhadap fizikal dan cara mengatasinya
Kesan depresi terhadap fizikal dan cara mengatasinya © Aaron Amat | Dreamstime.com

Depresi dan kegelisahan (anxiety) merupakan dua penyakit mental yang mula mendapat perhatian umum pada masa kini. Kesan depresi bukan sahaja mempengaruhi mental seseorang, ia juga mempunyai kesan tersendiri terhadap fizikal penghidapnya.

Tahukah anda, ramai pesakit depresi yang mendiamkan diri dan tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya? Disebabkan penyakit ini merupakan sesuatu yang taboo, sebanyak 80% remaja yang mempunyai masalah ini kekal tidak didiagnosis.

Kehilangan orang yang tersayang, masalah kewangan, trauma dan sebagainya boleh membuatkan seseorang jatuh ke dalam lubang depresi. Ia juga boleh membuatkan kualiti hidup seseorang merosot secara drastik.

Kesan depresi terhadap fizikal manusia

Banyak kajian yang telah membuktikan bahawa depresi boleh membawa mudarat terhadap fizikal penghidapnya.

Depresi mempunyai kesan yang besar dan boleh mempengaruhi lebih daripada mood seseorang. Sebagai contoh, pesakit juga boleh mengalami:

  1. Sakit badan yang semakin ketara, berlaku kepada 2/3 orang yang menghidap depresi
  2. Keletihan kronik
  3. Insomnia atau terlalu banyak tidur

Berdasarkan simptom di atas, nyatalah depresi mempunyai pengaruh yang kuat terhadap hidup penghidapnya.

Selain memberikan kesan dari segi fizikal, depresi juga boleh menyebabkan tekanan ketika belajar, masalah dalam perhubungan dan juga kesihatan. Malah, depresi juga boleh menjadi punca prestasi di tempat kerja merosot.

Walaupun depresi merupakan masalah mental, ia mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan fizikal. Depresi klinikal boleh mengganggu aktiviti harian dan membuatkan kualiti hidup penghidapnya merosot.

Oleh sebab itu, mereka yang menghidap depresi perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Walaupun sukar, cubalah bercakap dengan pakar untuk mengetahui punca sebenar di sebalik depresi atau tekanan perasaan yang dialami.

Cara menangani depresi

Penyakit mental seperti depresi juga merupakan salah satu ujian daripada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’”

(Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Bukan mudah untuk menangani depresi lebih-lebih lagi jika anda sedang berseorangan. Walau bagaimanapun, dengan bantuan ahli keluarga, sahabat handai dan juga pakar dalam bidang perubatan, tidak mustahil penyakit ini dapat diatasi.

Pertama sekali, cuba kenal pasti punca tekanan dan cari jalan untuk mengatasinya. Pada masa yang sama, belajar untuk mengawal sebarang fikiran negatif daripada mengambil alih minda kita ketika sedang stres atau tertekan.

Elakkan menunda-nunda kerja ketika mengalami depresi. Kadangkala, rasa letih dan sukar untuk fokus membuatkan pesakit gemar untuk melewat-lewatkan kerja. Jika dibiarkan begitu sahaja, kerja yang tidak tersiap itu akan menjadi masalah yang besar pada masa hadapan.

Selain itu, jangan lupa untuk makan secara sihat dan tidur dengan mencukupi. Hampir 80% daripada penghidap depresi mempunyai masalah untuk tidur yang menjadi punca utama keletihan yang mereka alami.

Akhir sekali, jangan pernah berhenti memanjatkan doa kepada Allah Taala. Banyakkan juga solat sunat serta ibadah lain. Insya-Allah, beban disebabkan penyakit akan perlahan-lahan terhapus dan ditukar menjadi sesuatu yang menenangkan jiwa.