Kesan solat kita kepada jiwa Muslim

Agama Hagnas 15-Sep-2020
dreamstime_s_7590694
Kepentingan solat © Jaggat ... | Dreamstime.com

Solat merupakan rukun Islam yang ke dua yang wajib kita turuti. Kita mengambil wuduk sekurang-kurangnya lima kali sehari sebelum setiap kali solat. Ini boleh menenangkan dan menyegarkan minda dan jiwa. Jika solat ini didirikan dengan betul, ia membantu menyucikan jiwa dari sifat angkuh dan munafik.

Solat diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘Hubungan’. Oleh itu, solat lima waktu sehari semalam mengingatkan kita supaya sentiasa beriman kepada Allah SWT dan sentiasa berhubung memohon keampunan dan hidayah daripada-Nya.

Solat juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan silaturrahim melalui solat jemaah di mana Muslim tidak kira darjat berada di saf yang sama menyembah Allah SWT. Solat merupakan satu cara untuk membersihkan diri, menyucikan jiwa, membina sifat menepati masa sekaligus menenangkan jiwa Muslim.

Kesan  solat kepada personaliti

Apabila solat didirikan dengan bersungguh-sungguh sebanyak lima kali sehari, kita akan sentiasa mengingati Allah SWT dan Hari Akhirat. Ini akan menjauhkan kita daripada berbuat maksiat dan menzalimi serta menganiayai orang lain.

Kita sedar bahawa kita sedang mengadap Allah yang Maha Besar, pencipta sekalian alam sewaktu kita sedang mendirikan solat. Jika minda kita berfikir untuk melakukan dosa, secara automatik kita mengubahnya kerana kita sedang menyembah Allah SWT.

Solat sangat membantu kita menyucikan hati dan anggota badan daripada keinginan berbuat buruk, dan perkara-perkara maksiat lain. Solat juga memberi peluang kepada kita untuk mengakui kesalahan kita dan memohon ampun kepada Allah SWT kerana sewaktu kita mendirikan solat, kita amat dekat dengan Allah.

Solat merupakan cara paling mudah untuk membina rasa cinta kepada kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada dendam dan sifat mementingkan diri yang merupakan sumber utama kejahatan dalam kehidupan manusia.  

Kesan solat kepada fizikal

Solat mempunyai pergerakan badan yang tertentu yang boleh membantu mengurangkan kekakuan pada sendi, mengelakkan kecederaan otot serta meningkatkan kekuatannya,  sekaligus menguatkan badan. Pergerakan dalam solat seperti rukuk, duduk antara dua sujud, sujud dan gerakan-gerakan lain boleh membantu merawat beberapa penyakit andainya dilakukan dengan betul.

Solat yang dilaksanakan dengan sempurna sebanyak lima kali sehari semalam akan menyihatkan jantung, menguatkan buah pinggang, merawat masalah kemandulan dalam kalangan lelaki, meningkatkan kualiti seksual dan merawat otot genital.

Kesan solat kepada keperibadian Muslim

Kehidupan moden yang sangat sibuk terkadang membuatkan manusia lupa faktor mereka diciptakan. Hubungan dengan Allah SWT melalui solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak membantu memenuhi keperluan spiritual. Pada saat Muslim meletakkan kepala mereka yang mulia di atas tanah dan berkata “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi. ”

Muslim dapat merasai kebesaran Allah SWT di dalam solat sekaligus merasai ketenangan jiwa. Solat membina rasa kehambaan yang merupakan satu kualiti yang sangat penting untuk menjadi mukmin yang berjaya.

Kesimpulannya, dengan solat kita sedar bahawa Allah SWT mengetahui segala apa yang kita lakukan. Dengan ini, solat dapat mencegah kita daripada melakukan perbuatan maksiat dan membantu kita semua menjadi manusia yang berakhlak mulia.