Kesan zakat menjayakan seluruh masyarakat

Kepercayaan Adea Ghafar 14-Mei-2020
dreamstime_xs_140461126
Ini cara zakat fitrah ditentukan setiap tahun © Ababil12 | Dreamstime.com

Zakat ialah salah satu unsur utama dalam Islam yang sangat penting dalam memperkukuhkan iman kita. Ia adalah cara Islam melaksanakan kerja amal. Menjadi kewajiban bagi semua Muslim yang memiliki Nisab (batas harta minimum bernilai sekitar 87 gram emas) untuk mengeluarkan zakat kepada mereka yang memerlukan.

Apabila seorang mukmin membayar zakat, Allah SWT akan mencurahkan rahmat-Nya kepadanya. Kepentingannya dapat disimpulkan melalui firman Allah dalam Al-Quran: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” [At-Tawba (9), 103]

Ajaran Islam ini membolehkan umat Islam memberikan sejumlah wang kembali kepada masyarakat untuk menolong mereka yang memerlukan. Persekitaran hidup kita adalah cerminan tindakan kita. Kebahagiaan lahir daripada sikap tidak mementingkan diri sendiri, dan zakat adalah sistem yang dapat membawa kebahagiaan dalam kehidupan Muslim yang memerlukan.

Tujuan zakat ialah untuk membantu golongan miskin dalam masyarakat kita dan memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Pemberian zakat adalah cara untuk menunjukkan rasa syukur kepada nikmat Allah SWT yang tidak terkira banyaknya. Zakat menimbulkan kesan melimpah dengan hanya satu perkara kebaikan. Rahsia hidup yang penuh ceria ialah berkongsi rahmat kebajikan dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Zakat juga menambah kestabilan sosial dari segi ekonomi. Ia meningkatkan edaran kekayaan atau harta dan seterusnya membantu membina masyarakat yang lebih sihat. Ia meningkatkan taraf hidup asas bagi golongan tidak bernasib baik. Sekaligus, ini dapat mengurangkan kekerapan pencurian, keganasan atau kegiatan jenayah lain. Bila semua ini berlaku, kehidupan amnya menjadi lebih baik.

Kesan tidak langsung zakat juga memungkinkan peluang pekerjaan baru kepada sesiapa yang menghadapi masalah kewangan. Pembahagian harta kekayaan ini juga dapat menolong sesetengah orang untuk mengubah kehidupan mereka.

Zakat boleh memberikan manfaat kepada para penderma dan juga yang menerima. Penundaan bayaran zakat atau langsung tidak membayar zakat pula adalah amat tidak digalakkan. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang sangat besar bagi umat Islam yang membayar zakat secara teratur.

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran: “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!” [Al-Hadid (57), 11]

Oleh itu, pembayaran zakat yang tepat pada masanya menguntungkan keseluruhan masyarakat. Ini pasti memberikan ketenteraman perasaan apabila reda Allah SWT dapat dirasakan di dalam hati para pengeluar zakat. Membiasakan sifat tidak mementingkan diri sendiri akan membawa rahmat Ilahi kepada setiap pembayar zakat yang cakna golongan yang memerlukan.