Kesedihan yang membawa ke Syurga

Kehidupan Hagnas 28-Ogo-2020
Sadness
Kesedihan yang membawa ke Syurga © Marcos Calvo Mesa | Dreamstime.com

Walaupun kesedihan dan kesusahan merupakan ujian-ujian yang akan kita hadapi dalam hidup kita, ketahuilah bahawa dengan ujian-ujian ini, kita akan mempunyai peluang yang sangat besar untuk ke Syurga.

Ini diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Allah SWT berfirman: Wahai anak Adam, jika kamu bersabar dan mengharap pahala di waktu tertimpa musibah, aku tidak rela memberimu ganjaran lain melainkan Syurga.” (Sunan Ibn Majah)

Dari hadis ini, kita ketahui bahawa kesabaran sewaktu dalam kesusahan disaksikan oleh Allah SAW dan akan diberikan ganjaran yang besar. Ujian dan kesusahan yang dilalui akan membantu kita memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan menjadikan hanya kepada-Nya kita bertawakal.

Kesabaran juga merupakan amal kebaikan yang paling berat timbangannya di Akhirat kelak. Pada hari itu, kita sangat memerlukan kepada rahmat Allah SWT dan sangat berharap agar kita dapat memasuki Syurga-Nya. Bila kita membayangkan situasi ini, tentunya kita dapat merasai betapa bernilainya harga sebuah kesabaran.

Abu Salma r.a meriwayatkan bahawa Rasul SAW bersabda: “Tiada yang lebih berat timbangannya selain daripada subhanallah, alhamdulillah,  lailaha illa llah, allahu akbar, dan ibu bapa Muslim yang anaknya meninggal dan dia bersabar menghadapinya kerana Allah.” (Sahih Ibn Hibban)

Islam mengajar kita supaya kembali pada Allah SWT bila kita menghadapi kesedihan dan kesukaran kerana hanya Dia yang mampu menolong kita.

Dalam Hadis Abu Tamimah r.a meriwayatkan: Seorang lelaki dari Balhujym berkata: “Wahai Rasulullah, kepada apakah kamu meminta/berdoa?” Rasulullah SAW bersabda: “Aku meminta hanya kepada Allah. Jika Dia membiarkan kamu menerima musibah, kamu berdoa kepada-Nya dan Dia akan menghilangkan musibah itu.

Sekiranya kamu tersesat di hutan belantara, kamu berdoa kepada-Nya dan Dia akan membawa kamu kembali. Sekiranya kamu menderita akibat kemarau, kamu berdoa kepada-Nya dan Dia akan menumbuhkan tanaman itu. ” Lelaki itu berkata, “Nasihatilah saya.” Nabi bersabda, “Jangan menghina siapa pun dan jangan meremehkan perbuatan baik, sekalipun bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria atau berkongsi airmu dengan orang yang haus.” (Musnad Ahmad)

Ini menunjukkan bahawa kita hendaklah berdoa dan berzikir kepada Allah SWT dengan seikhlas hati apabila kita menghadapi musibah. Benar, Allah Maha Mengetahui dan Dialah sebaik-baik penolong: “(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.” (Surah Al-i- Imran 3, ayat 150)

Moga Allah SWT membantu hamba-Nya yang sedang mengharungi apa jua kesusahan dan semoga Allah memberikan kesabaran, kesungguhan dan kekuatan sebagai asbab untuk mereka beroleh Syurga.