Keserasian Judika Bersama Muzik Orkestra MPO

Membuat persembahan nyanyian di Dewan Filmarmonik Petronas (DFP) dengan diiringi oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pasti menjadi idaman para penyanyi tanah air.

Dengan reputasi DFP sebagai sebuah pentas berprestij selain muzik orkestra penuh MPO yang mempunyai kelasnya yang tersendiri, bukan calang-calang penyanyi berpeluang menyanyi di situ.

Apatah lagi bagi penyanyi luar, ia bagaikan satu penghormatan apabila mereka dijemput membuat konsert di DFP.

Justeru, peluang itu tidak disia-siakan oleh penyanyi lelaki popular dari Indonesia, Judika yang mengadakan konsert Judika With The MPO Featuring Jaclyn Victor pada 19 dan 20 Oktober 2019 yang lepas.

Dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose, sebanyak 18 buah lagu dipersembahkan dalam gubahan orkestra oleh MPO yang memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu pop bekas pemenang tempat kedua Asia Bagus (1998) dan Indonesian Idol (2005) itu.

Mengetengahkan lagu-lagu popularnya seperti Aku Yang Tersakiti, Setengah Mati Merindu, Bukan Dia Tapi Aku, Mama Papa Larang dan Bukan Rayuan Gombal, persembahan Judika pasti mengimbas kembali kisah-kisah cinta tidak kesampaian para peminatnya dengan lagu-lagu ‘putus cintanya’.

Malah, penyanyi tersebut sempat bergurau dengan mengatakan bahawa kebanyakan peminatnya ialah terdiri daripada mereka yang patah hati disebabkan lagu-lagunya yang sedih.

Selain itu, seluruh dewan DFP turut menjadi gamat ketika persembahan duet Judika bersama artis undangan, Jaclyn Victor yang menyanyikan Shallow (nyanyian asal Lady Gaga dan Bradley Cooper) dan Kisah Ku Inginkan (duet asal bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Persembahan kedua-dua penyanyi yang mempunyai kelantangan vokal yang tinggi dan padu itu membuatkan bulu roma penonton berdiri dan begitu menyentuh perasaan.

Ternyata, kerisauan yang disuarakan Judika terhadap persembahannya itu sebelum ini berjaya diatasi dengan prestasi cemerlangnya untuk keseluruhan konsert yang berdurasi 2 jam itu.

Vokal rock bekas vokalis kumpulan Mahadewa itu kedengaran begitu harmoni dan serasi sekali dengan muzik MPO, sekali gus membuktikan Judika layak digelar penyanyi versatil.

Lebih manis buat penyanyi yang lahir pada tahun 1978 itu adalah apabila dia berpeluang menjemput isteri dan dua anaknya ke atas pentas bagi mengiringi persembahan lagu Mama Papa Larang bersempena dengan sambutan hari lahir anak perempuannya.

Judika merupakan artis kedua dari Indonesia yang mengadakan konsert solo di DFP selepas Ruth Sahanaya pada tahun 2018.

Antara artis antarabangsa yang telah membuat persembahan di DFP ialah Laura Fygi, Harry Connick Jr., Chris Botti, Diana Krall, Anoushka Shankar dan Larry Carlton, serta artis tempatan seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Foto: DFP