Kesibukan bukan penghalang bersama anak-anak

Luangkan masa bersama anak © Josephine Julian Lobijin | Dreamstime.com

Ibu dan bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak. Selagi mana mereka masih duduk sebumbung dengan kita, tanggungjawab masih berada di tangan kita. Lihatlah, dengan kemajuan teknologi dan berhadapan dengan arus yang mencabar ini, amat jarang kita perhatikan ibu bapa yang tidak bekerja.

Anak-anak dihantar ke rumah pengasuh seawal selepas subuh sehingga senja mendatang. Segelintir ibu dan bapa yang bekerja sering terlupa melihat anak-anak mereka. Sehingga melepaskan semua tanggungjawab kepada pembantu. Kadang-kala tidak pulang ke rumah menikmati juadah bersama-sama keluarga. Anak-anak bermain keseorangan, sehinggakan kurangnya kasih sayang ibu bapa terhadap mereka.

Apalah kiranya, sesekala bercuti ke tempat-tempat peranginan tempatan atau ke luar negara menghabiskan masa bersama-sama mereka. Anak-anak akan berasa mereka dihargai dan diambil perhatian sekiranya pandangan sentiasa berada bersama-sama mereka.

Lihatlah kemajuan pelajaran anak-anak. Adakah semakin meningkat atau sebaliknya? Sekiranya kita sendiri tidak mampu membantu mereka dalam pelajaran, bantulah mereka dengan menghantar ke tempat-tempat tuisyen atau menghantar kepada guru yang pakar.

Tatkala anak-anak meningkat remaja mereka akan bercerita perkara-perkara yang tidak kita sangka seperti menyebut tentang pasangan dan perkahwinan. Sememangnya, lumrah manusia dalam kehidupan, perlukan pasangan. Ibu bapalah yang dapat membantu mencorakkan masa hadapan mereka. Pandulah mereka untuk memilih kawan dan teman hidup.

Ciri-ciri kawan yang baik akan sentiasa mengajak ke arah kebaikan.  Sentuhan kalbu perlu diterapkan agar kita hidup tidak dihanyut mimpi indah semata. Jadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan kita. Sentuhan kalbu adalah seperti membaca al-Quran, tazkirah, perbincangan ilmiah, juga dapat menyuburkan jiwa-jiwa yang alpa.

Justeru, ibu bapalah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik untuk masa hadapan anak-anak. Namun selagi mana anak-anak masih bersama-sama kita serumah, kita masih berhak untuk menegur mereka sekiranya terdapat kelakuan yang menyalahi syariat. Tanggungjawab masih berada di bahu kita untuk membentuk peribadi dan akhlak mulia terhadap mereka.

Kita perlulah memerhatikan gerak geri dan tingkah laku mereka agar tidak terpesong ke jalan yang salah. Jika ibu bapa sendiri tidak mampu membentuk anak-anak yang sedikit keras, mintalah bantuan kepada pihak berkuasa agar dapat membantu masa hadapan mereka.

Siapkan anak-anak dengan benteng pertahanan sebelum mereka keluar ke alam yang begitu mencabar. Antara benteng yang sentiasa mengiringi kehidupan mereka ialah menunaikan solat pada waktunya dan berzikir setiap waktu serta pandai memilih kawan yang baik.