Kesilapan membetulkan manusia

Psikologi Tari Basir
Tari Basir
Kesilapan membetulkan manusia
Kesilapan membetulkan manusia © Sergey Chuyko | Dreamstime.com

Bumi manakah yang tidak ditimpa hujan? Peribahasa ini mengaitkan dua elemen alam yang cukup penting. Bumi merupakan antara planet yang ada di galaksi, dan hujan pula merupakan hasil pergeseran awan di atasnya.

Walaupun seluas mana bumi terbentang, sudah tentu ia telah pun lencun dek hujan. Hujan kadangkala sesuatu yang dibenci. Kerana itu manusia mencipta payung agar manusia tidak basah dek hujan, atau atap agar manusia boleh berlindung daripadanya.

Namun, tanpa hujan tumbuhan tidak mampu hidup dan tumbuh meliar. Jika hanya bergantung kepada siraman manusia sahaja, kadangkala tidak cukup. Malahan, manusia juga kadangkala lupa. Bumi manakah yang tidak ditimpa hujan, bukan?

Namun, atas sebab apakah Allah Taala meletakkan kesilapan ke dalam diri manusia? Hingga ia sebati dan tiada manusia yang tidak berbuat silap.

Bertebarannya sosok manusia di seluruh pelosok alam juga hasil kesilapan manusia. Nabi Adam a.s, bapa pertama segala manusia juga berbuat silap dengan memakan buah larangan, lalu dihukum Allah SWT dengan diutus ke dunia.

Mengapa kesilapan sebati dengan manusia?

Jawapannya mudah, kerana itulah manusia. Manusia tidak dicipta sebagai makhluk Allah SWT yang sempurna. Bahkan, tiada makhluk-Nya yang sempurna melainkan diri-Nya yang Maha Sempurna.

Syaitan yang dicipta dari api, merupakan makhluk yang dilaknati. Malaikat yang dicipta dari cahaya dan setia beribadah tanpa penat lelah, tiada nafsu dan kemampuan membuat pertimbangan. Apatah lagi manusia yang dicipta dari tanah, penuh kecacatan di sana sini.

Itulah tujuan, agar manusia sedar dirinya tidak sempurna. Tidak sempurna namun boleh berusaha mencapai kesempurnaan, walaupun kesempurnaan itu tidak seratus peratus sempurna.

Malahan, kesilapan sebenarnya tanda Allah Taala menyayangi manusia. Kesilapan pertama menghalang manusia daripada terus mengulanginya, bahkan manusia mencipta penyelesaian demi mengelakkan dari mengulanginya.

Tanpa kesilapan, manusia tidak akan pernah belajar. Tidak akan pernah beradaptasi apatah lagi menjadi dewasa. Kerana itulah kesilapan ialah guru kehidupan yang terbaik, walaupun kadangkala ia mampu memusnahkan hidup seseorang.

Tersilap itu biasa, mengulanginya satu pilihan

Walaupun manusia itu tidak terlepas daripada kekhilafan, namun ia bukan satu kelemahan yang boleh diekploitasi sebagai alasan atas semua perkara. Mengulangi kesilapan kedua, ketiga dan seterusnya berulang kali ialah satu pilihan. Pilihan untuk terus duduk dalam kesilapan dan bersedia menerima risikonya.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, iaitu:

“Seorang Mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.”

Apabila seseorang Muslim melakukan kesilapan, maka dirinya perlu belajar daripada kesilapan tersebut. Belajar untuk mempersiapkan dirinya dengan strategi atau pelan kontijensi, agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Mungkin peluang kedua boleh diraih lagi atas pengulangan kesilapan yang sama. Namun, pisang tidak akan berbuah dua kali.

Manusia menjadi betul dengan kesilapan

Tanpa kesilapan, manusia tidak akan tahu implikasi yang akan diterima apabila dirinya tersilap. Kerana manusia tidak mampu membetulkan diri dan memikirkan strategi untuk mengelaknya berulang. Tanpa kesilapan, manusia tidak mampu mencapai kesempurnaan.

Jika seseorang itu tersalah saiz baju, dia tidak akan tahu apakah saiz dirinya yang tepat. Jika dirinya tidak melukakan hati pasangannya, dia tidak akan tahu apa yang membuatkan pasangannya mencintainya.

Kerana fitrah manusia yang sering tersilap lalu berdosa, maka Allah SWT hadirkan taubat. Agar sesudah tersilap, dirinya menjadi lebih baik dan berpeluang membetulkannya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.