Kesultanan Islam Buton di Sulawesi ini tidak pernah dijajah oleh Belanda

Asia Md Wa'iz
Md Wa'iz
Peninggalan Benteng Wolio di Buton, Sulawesi
Peninggalan Benteng Wolio di Buton, Sulawesi © kendaripos.co.id

Tahukah anda, terdapat sebuah kerajaan Islam di negara jiran, Indonesia yang tidak pernah dijajah Belanda? Kerajaan tersebut adalah Kesultanan Buton yang terletak di kawasan Sulawesi Tenggara.

Apakah cerita menarik mengenai kesultanan ini?

Sejarah awal kerajaan Buton

Kerajaan ini telah terbentuk seawal abad ke-14 Masihi. Pada ketika itu, kerajaan Buton masih lagi bukan sebuah kerajaan Islam. Pada awal pembentukan kerajaan ini, ia dipimpin oleh seorang wanita yang bernama Ratu Wakaaka.

Kemudiannya, diganti oleh beberapa ratu dan raja lain iaitu Ratu Bula Wambona, Raja Bancapatola, Raja Tuarade dan Raja Rajamulae. Kerajaan Buton dipimpin oleh lima orang raja ini secara berturut-turut sehinggalah pada tahun 1451, ia berubah menjadi sebuah kerajaan Islam.

Pada waktu ini, ia berubah secara rasmi sebagai sebuah Kesultanan Islam Buton disebabkan oleh pengaruh agama Islam yang hadir ke Buton pada ketika itu.

Pengaruh Islam di Buton

Sultan pertama dalam Kesultanan Buton ialah Sultan Murhum Kaimuddin. Pada zaman pemerintahan beliau inilah, agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi kerajaan dan kesemua rakyat Buton dikehendaki memeluk Islam pada ketika itu.

Salah satu pengaruh kuat ajaran Islam terhadap Kesultanan Buton ialah melalui gelaran yang diberikan kepada sultan. Setiap Sultan-sultan Buton akan digelar dengan gelaran Kaimuddin yang bermaksud ‘Pendiri atau Penegak Agama’.

Gelaran ini diberikan secara khusus oleh Syarif Makkah kepada Sultan-sultan Buton sejak kerajaan ini berubah menjadi sebuah kerajaan Islam.

Tidak pernah dijajah Belanda

Tahukah anda, Kesultanan Buton ini tidak pernah sama sekali dijajah oleh mana-mana penjajah termasuklah pihak Portugis dan juga Belanda. Dikatakan pihak Portugis dan juga Belanda tidak begitu berani menyerang kerajaan ini, justeru hanya menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan ini.

Pihak Belanda hanya menjadikan Buton sebagai lokasi persinggahan disebabkan lokasinya yang strategik selain ingin mendapatkan sumber rempah dari pulau ini. Pihak penjajah menganggap bahawa Kesultanan Buton mempunyai struktur monarki yang sangat kuat selain kekuatan pertahanan yang sangat kukuh.

Bukan itu sahaja, pihak penjajah juga mengetahui bahawa Kesultanan Buton tidak berfikir panjang untuk mengangkat senjata jika mereka mendapati ada lanun yang cuba mendekati kepulauan mereka.

Kegerunan pihak Belanda ini adalah satu perkara yang berasas kerana Kesultanan Buton pada ketika itu sudah memiliki satu sistem pemerintahan yang kuat. Mereka mempunyai raja, perdana menteri sebagai penasihat, tentera sebagai pasukan pertahanan dan semestinya rakyat yang menyokong pemerintahan.

Benteng Wolio yang terkenal

Benteng Wolio adalah salah satu tinggalan kubu kota Kesultanan Buton yang masih gah dan berdiri kukuh. Ia telah dibina pada tahun 1634 oleh Sultan Buton Keenam.

Panjang benteng ini ialah 2.740 meter yang mengelilingi kawasan seluas 401.900 meter persegi. Ketebalan benteng ini ialah antara 1 hingga 2 meter dan berketinggian antara 2 hingga 8 meter.

Ia mempunyai 12 pintu gerbang dan didirikan di kawasan berbukit berhampiran dengan pantai. Antara salah satu sebab mengapa penjajah tidak begitu berani menyerang kerajaan Buton adalah disebabkan benteng ini.

Strukturnya yang kuat beserta posisinya di kawasan berbukit akan menyukarkan pihak penjajah untuk menaklukinya. Kesultanan Buton sudah tidak wujud lagi selepas pembentukan Negara Indonesia.

Namun, kesan sejarahnya masih boleh dilihat dan dihayati oleh para pencinta sejarah Islam.