Kesultanan Melaka dan pedoman sejarahnya

Kehidupan Hanita Hassan 27-Mei-2020
Muzium Istana Kesultanan Melaka © Son Tong Tran | Dreamstime.com

Sejarah Melayu menggambarkan Melaka sebagai sebuah empayar yang teguh dan stabil di bawah satu susunan pentadbiran dan politik tradisional yang teratur.  Perkembangan Melaka yang pesat dibantu dengan tindakan Parameswara memeluk Islam tahun 1414 telah menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.

Kedudukan Islam semakin kukuh di bawah pentadbiran Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah.  Banyak faktor yang menjadi penggerak perkembangan Islam di Melaka. Antaranya kegiatan perdagangan, minat golongan pemerintah, penaklukan, kegiatan keilmuan dan kegiatan golongan tasawuf.

Jajahan takluk Melaka ketika itu sangat luas dan pelabuhannya menjadi tempat persinggahan para pedagang dan pelayar dari timur dan barat.  Tokoh yang terlibat secara langsung dalam kecemerlangan Islam di Melaka ialah Tun Perak.

Tun Perak yang digelar Bendahara Paduka Raja adalah penasihat Sultan Melaka. Peranan Tun Perak mencakupi pelbagai bidang iaitu pentadbiran, politik dan peluasan kuasa, perdagangan dan penyebaran agama Islam di rantau ini. Beliau juga terlibat dalam mencadangkan pengganti Sultan Melaka.

Kebijaksanaan Tun Perak mematahkan serangan Siam telah menyebabkan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Melaka  melantik beliau sebagai Penghulu Bendahari Melaka.  Tun Perak kemudian dilantik sebagai Bendahara Melaka apabila Bendahara Tun Ali meletak jawatan setelah berkahwin dengan Tun Kudu, kakak kepada Tun Perak.

Selama lebih kurang 100 tahun Melaka berjaya muncul sebagai pusat kegiatan penyebaran Islam yang unggul menggantikan kerajaan Pasai dalam meluaskan syiar Islam di Nusantara.  Kecemerlangan Melaka disebabkan adanya kesungguhan dan semangat yang tinggi daripada pihak pemerintah dan pendakwah di seluruh kepulauan Melayu.

Selepas Bendahara Tun Perak meninggal dunia, tempat beliau digantikan oleh Bendahara Tun Mutahir.  Semasa melaksanakan tugas, Tun Mutahir bersikap pilih kasih.  Hal ini menimbulkan perasaan iri hati dalam kalangan para pembesar. Beliau difitnah kerana cuba mengatasi kekayaan Sultan Melaka.  Akibatnya Sultan Mahmud Shah murka dan tanpa usul periksa menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tun Mutahir dan seluruh ahli keluarganya.

Apabila Sultan mengetahui akan kesilapannya, baginda telah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada anakandanya, Putera Ahmad. Sultan Ahmad Shah adalah seorang pemerintah yang tidak cekap dan lemah. Pengganti Bendahara Tun Perak iaitu Bendahara Tun Pepatih Putih pula sudah uzur.

Oleh kerana itu, pentadbiran Melaka semakin lemah kerana tiadanya pemimpin yang berwibawa. Amalan rasuah dan fitnah berleluasa.  Sistem cukai tidak cekap dan kadar cukai pula tinggi menyebabkan pedagang mula mengubah haluan memilih pelabuhan lain seperti Aceh dan Patani  kerana cukainya lebih rendah.

Meskipun Islam adalah agama yang menjadi anutan dan pegangan namun ia semakin lemah dan runtuh kerana sikap pembesar yang mementingkan kuasa dan kekayaan.  Akhirnya berlakulah pengkhianatan dalam kalangan masyarakat Jawa, Gujerat dan Cina yang secara sulit menyebelahi Portugis.

Benarlah sepertimana yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya bahawa segala apa yang berada di puncak pasti melalui tempoh kejatuhan.  Kitaran ini turut melanda Melaka pada tahun 1511 apabila berjaya ditumbangkan oleh angkatan Portugis.