Kesultanan Ternate: Kerajaan terawal di Maluku yang menerima Islam

Sejarah Md Wa'iz
Pilihan
Masjid Sultan Ternate di sekitar tahun 1850-1900
Masjid Sultan Ternate di sekitar tahun 1850-1900 © Public Domain

Kesultanan Ternate adalah salah sebuah kerajaan Islam yang pernah wujud di Indonesia. Pemerintahan Islam ini terletak di kepulauan Maluku dan dikatakan antara kesultanan Islam terawal di Indonesia.

Berikut adalah sedikit penerangan sejarah mengenai kesultanan ini.

Kerajaan tertua di Maluku Utara

Kesultanan Ternate telah wujud sejak tahun 1257 Masihi. Ini menjadikannya sebagai salah satu kerajaan tertua di kawasan Maluku Utara, sebaris dengan kerajaan Tidore dan Bacan.

Pada masa dahulu, kawasan Maluku Utara ini menjadi rebutan empat buah kerajaan iaitu Tidore, Ternate, Jailolo dan juga Bacan. Ini kerana kedudukannya yang berada di kawasan perdagangan antara yang terpenting di Nusantara.

Empat buah kerajaan ini kerap mempunyai konflik antara satu sama lain. Sehinggalah pada pemerintahan raja Ternate ke-7, beliau cuba membentuk perdamaian dan gabungan keempat-empat kerajaan bagi mengelakkan perselisihan yang berpanjangan.

Pengaruh Islam dalam Kesultanan Ternate

Pada awal abad ke-15, agama Islam mula tiba dan masuk ke Ternate. Raja Ternate pertama yang memeluk Islam ialah Kolano Marhum.

Pada pertengahan abad ke-15, raja Ternate mula mengadaptasi ajaran Islam dalam pemerintahannya. Putera kepada Kolano Marhum, iaitu Sultan Zainal Abidin telah meninggalkan gelaran Kolano dan menggantikannya dengan gelaran Sultan.

Ulama-ulama juga telah diangkat menjadi penasihat dan sebahagian daripada penggerak Kesultanan Ternate. Agama Islam juga djadikan sebagai agama rasmi kerajaan.

Begitu juga dengan penguatkuasaan undang-undang Islam. Apa yang telah dilakukan oleh Sultan Zainal Abidin ini kemudiannya diikuti oleh kerajaan-kerajaan lain di Maluku.

Penguasaan Belanda ke atas Ternate

Sebelum kedatangan Belanda, Portugis telah terlebih dahulu tiba di Maluku. Namun, pada ketika itu Portugis hanya lebih ke arah mewujudkan hubungan perdagangan dan perniagaan. Stelah sekian lama, Portugis mula menguasai pasar-pasar rempah dan mula menguasai Maluku.

Namun, Sultan Baabullah telah berjaya mengusir pihak Portugis dari Ternate selepas itu. Setelah Sultan Baabullah meninggal dunia, Kesultanan Ternate mula jatuh secara perlahan-lahan.

Kemasukan Belanda ke Ternate semakin melemahkan kekuasaan Sultan Ternate. Peperangan kerap berlaku, namun Kerajaan Ternate seringkali tewas dengan pihak Belanda.

Sultan Usman Syah merupakan pemerintah terakhir Ternate yang mempunyai kuasa sebelum dijatuhkan hukuman buang negeri oleh Belanda atas tuduhan pemberontakan. Baginda telah dibuang negeri ke Bandung dan menetap di sana sehingga meninggal dunia.

Kesultanan Ternate akhirnya berada di bawah cengkaman Belanda sehinggalah terbentuknya Republik Indonesia.

Kesultanan Ternate bergabung untuk membentuk Republik Indonesia pada tahun 1945. Walaupun Sultan Ternate masih ada sehingga sekarang, namun baginda tidak mempunyai kuasa pemerintahan melainkan hanya sebagai simbol bagi budaya dan adat orang Ternate.

Warisan Kesultanan Ternate

Walaupun kesultanan ini sudah tidak lagi berkuasa, namun kita masih dapat melihat tinggalan sejarah dan juga warisan kesultanannya. Anda boleh melihat Istana Kesultanan Ternate yang masih kukuh berdiri di kaki Gunung Gamalama.

Begitu juga dengan Sigi Lamo, iaitu sebuah masjid peninggalan Kerajaan Ternate. Kegemilangan Kesultanan Ternate mungkin sudah tiada, namun warisannya masih dapat dihayati sehingga hari ini.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.