Ketagihan – adakah ia satu penyakit, dan apa kesannya?

Kesejahteraan Mental Md Wa'iz
Pendapat oleh Md Wa'iz
Ketagihan - adakah ia satu penyakit, dan apa kesannya?
Ketagihan - adakah ia satu penyakit, dan apa kesannya? © Judgar | Dreamstime.com

‘Ketagihan – adakah ia satu penyakit, dan apa kesannya?’ Keadaan ketagihan adalah satu keadaan yang sememangnya dipandang sebagai satu perkara yang negatif.

Namun, adakah ketagihan itu satu penyakit? Adakah ia berkaitan dengan otak atau sebaliknya?

Maksud sebenar keadaan ketagihan

Secara teknikalnya, ketagihan bererti satu keadaan di mana sistem otak manusia berfungsi secara tidak betul. Apabila keadaan ketagihan berlaku, ia menjejaskan atau menggangu bahagian otak yang melibatkan motivasi, memori dan juga ganjaran.

Ia adalah satu keadaan di mana tubuh badan kita menginginkan sesuatu bahan atau kelakuan tertentu secara kerap atau berulang-ulang.

Tanda-tanda seseorang itu mengalami ketagihan

Terdapat beberapa tanda yang boleh diperhatikan bagi menentukan sama ada seseorang itu mengalami ketagihan.

Antara tanda-tandanya ialah:

  • Tidak berkemampuan untuk berhenti daripada penggunaan sesuatu bahan atau sesuatu tingkah laku
  • Kurang berkemampuan mengawal diri sendiri
  • Mempunyai keinginan yag meningkat terhadap sesuatu perkara atau tingkah laku
  • Tidak menyedari bahawa tingkah laku mereka itu boleh menyebabkan masalah
  • Kurang mempunyai tindak balas emosi yang sepatutnya

Apabila menyebut mengenai ketagihan, pastinya ketagihan dadah adalah perkara pertama yang terlintas di fikiran kita. Namun, ketagihan sebenarnya mempunyai beberapa jenis dan ia bukan hanya terhad kepada pennyalahgunaan dadah.

Ada berapa jenis keadaan ketagihan yang ada?

Secara umumnya, ketagihan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu ketagihan kimia dan ketagihan tingkah laku.

Ketagihan kimia

Ketagihan kimia adalah ketagihan yang melibatkan penggunaan sesuatu bahan. Antara contoh ketagihan kimia ialah penyalahgunaan dadah, nikotin dalam rokok dan pengambilan minuman beralkohol.

Ketagihan tingkah laku

Ketagihan tingkah laku ialah ketagihan yang melibatkan sesuatu perbuatan atau tingkah laku yang berulang. Antara jenis-jenis ketagihan tingkah laku ialah seperti ketagihan permainan video, menggunakan aplikasi media sosial, berjudi, makan dan ketagihan bekerja.

Kesan akibat kerap ketagihan kepada sesuatu perkara

Sekiranya seseorang itu terdedah kepada keadaan ketagihan dalam tempoh yang lama, maka semestinya ia akan memberikan kesan negatif kepada hidupnya. Individu yang mempunyai ketagihan lebih berisiko untuk mendapat penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Selain itu, ketagihan juga pastinya boleh menjejaskan kesejahteraan fikiran manusia. Ketagihan boleh menyebabkan seseorang tidak dapat berfikir dengan baik selain mengalami gangguan mental seperti keresahan dan stres.

Ketagihan juga memberikan kesan dalam perhubungan manusia. Ini kerana, individu yang mengalami ketagihan hanya akan memberikan keutamaan kepada ketagihannya itu. Dengan itu, individu di sekelilingnya akan menjadi terabai dan sering menyebabkan pertengkaran.

Ketagihan juga boleh menyebabkan seseorang itu terpalit dengan masalah kewangan. Hutang keliling pinggang kerana duit dan harta banyak dihabiskan untuk memenuhi keinginan ketagihannya itu.

Ketagihan sememangnya adalah satu penyakit

Sains telah mengesahkan bahawa ketagihan adalah penyakit otak kronik yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Walaupun begitu, masyarakat masih  percaya bahawa ketagihan adalah berpunca dari watak yang lemah atau kegagalan moral.

Keadaan ketagihan yang dialami seseorang sememangnya adalah satu penyakit. Ia adalah penyakit yang berkaitan dengan gangguan fungsi otak. Namun, ia boleh dirawat dengan beberapa kaedah seperti penggunaan ubat-ubatan, terapi dan penglibatan dalam kumpulan sokongan.

Dapatkan bantuan profesional seperti doktor dan kaunselor sekiranya anda ingin berubah ke arah yang lebih baik.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.