Ketagihan media sosial, bagaimana hendak atasinya?

Teknologi Hannan
Pendapat oleh Hannan
Ketagihan media sosial, bagaimana hendak atasinya?
Ketagihan media sosial, bagaimana hendak atasinya? © Natalia Kopyltsova | Dreamstime.com

Dianggarkan hampir 210 juta manusia di seluruh dunia menderita dengan ketagihan internet dan media sosial. Walau bagaimanapun, anggaran tersebut merupakan dapatan daripada sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 2017.

Kini, pada tahun 2021, ketagihan media sosial telah menjadi sesuatu yang lebih serius dan sukar untuk dibendung. Tahukah anda, berapakah purata penggunaan telefon bimbit untuk setiap individu?

Pengguna yang paling aktif boleh menghabiskan masa hampir 12 jam di hadapan skrin telefon bimbit. Namun, secara purata, setiap orang akan menggunakan telefon pintar masing-masing selama 5 hingga 6 jam sehari. Lama bukan!

Tambah lagi, disebabkan pandemik yang melanda, ramai yang beralih kepada penggunaan media sosial sebagai medium untuk kekal berhubungan. Walaupun kini semuanya berada di hujung jari, ada banyak sisi gelap penggunaan media sosial yang mungkin ramai tidak tahu.

Ramai rasa tertekan, hidup tidak lengkap

Media sosial boleh menjadi alat yang baik untuk mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Walaupun terpisah beribu kilometer, kita masih boleh mengetahui perkembangan ahli keluarga ataupun sahabat kita melalui statusnya di Instagram atau posting mereka di laman Facebook.

Walau bagaimanapun, bukan semua perkara mengenai media sosial itu baik-baik belaka. Kadangkala, kita akan mula membandingkan hidup kita dengan orang lain di sekeliling kita yang nampak lebih meriah, bahagia dan menyeronokkan.

Ramai yang terlupa apa yang ditayangkan di media sosial hanyalah momen-momen bahagia dan gembira sahaja. Oleh sebab itu, banyak pengguna media sosial menerima persepsi yang salah mengenai kehidupan orang lain.

Kesannya, ramai yang rasa tertekan dan stres dengan hidup mereka sekarang. Mereka rasa tidak cukup dan kadangkala malu dengan hidup mereka yang tidak seindah hidup orang lain.

Tidak kurang juga, ada yang aktif di media sosial kerana tidak mahu ketinggalan di dalam trend semasa. Kesannya, mungkin ada yang sanggup membelanjakan wang ringgit untuk membeli produk viral atau pergi bercuti semata-mata untuk dijadikan konten media sosial.

Elak ketagihan media sosial

Jika anda risau mengenai penggunaan media sosial anda, cuba periksa sama ada anda ketagih atau tidak dengan menjawab soalan berikut:

  1. Mungkinkah anda menghabiskan terlalu banyak masa menggunakan media sosial?
  2. Adakah anda rasa tertekan jika tidak boleh menggunakan media sosial?
  3. Anda menggunakan media sosial sebagai satu cara untuk lari dari masalah peribadi?
  4. Pernah cuba untuk mengurangkan penggunaan media sosial, tetapi tidak berhasil?
  5. Adakah anda menghabiskan masa yang banyak pada media sosial hingga ia memberikan impak negatif terhadap pelajaran atau pekerjaan anda?

Jika kebanyakan jawapan anda adalah ya, anda mungkin mempunyai ketagihan terhadap media sosial.

Walau bagaimanapun, ada juga kemungkinan bahawa anda hanyalah pengguna tegar media sosial dan hanya memerlukan ‘Detoks Digital’. Apa itu Detoks Digital? Ia adalah cara bagaimana anda boleh mengurangkan penggunaan media sosial secara perlahan-lahan.

Sebagai contoh, anda boleh lakukan aktiviti ini untuk mengurangkan penggunaan sosial media:

  • Tutup notifikasi – Jika anda rasa sukar untuk berhenti menggunakan media sosial, cuba tutup notifikasi untuk mengelakkan anda terganggu dengannya semasa kerja atau ketika belajar.
  • Letakkan telefon pintar jauh dari anda ketika tidur – Untuk pengetahuan anda, hampir 45% daripada kita memilih untuk scroll media sosial berbanding tidur. Malah, amalan ini juga menganggu jadual tidur dan membuatkan anda jadi lebih penat pada keesokan hari.
  • Elakkan berkongsi terlalu banyak informasi – Walaupun nampak mudah untuk dilakukan, cuba elakkan berkongsi terlalu banyak informasi peribadi di dalam media sosial masing-masing. Ia boleh membuatkan anda lebih tenang dan lapang hati.
Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.