Ketagihan telefon pintar dan petua mengatasinya

Ketagih telefon pintar
Penggunaan telefon pintar kini © Nataliia Sokolovska | Dreamstime.com

Dalam dunia teknologi yang semakin maju kini, penggunaan telefon pintar sudah dianggap sebahagian daripada gaya hidup moden. Kepesatan teknologi dan persaingan di antara syarikat-syarikat telekomunikasi membolehkan telefon pintar dengan harga mampu milik dinikmati segenap lapisan masyarakat. Justeru, tidak hairanlah jika kadar penembusan internet di Malaysia kini telah mencecah sekitar 26 juta penggunaannya oleh rakyat, iaitu 82% daripada populasi berjumlah hampir 33 juta. Sebagai perbandingan, hanya 3.7 juta rakyat Malaysia memiliki capaian internet pada tahun 2000.

Dari satu sudut pandang, perkara ini amatlah positif kerana terdapat korelasi yang tinggi di antara kekayaan negara yang diukur berdasarkan keluaran dalam negara kasar per kapita dan akses internet. Negara-negara mundur seperti Uganda dan Ethiopia memiliki kadar capaian internet yang sangat rendah berbanding negara-negara membangun seperti  Turki, Malaysia atau Brazil. Apatah lagi jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Australia dan Jerman.

Namun demikian, kita juga sangat terdedah kepada kesan negatif penggunaan peranti pintar ini iaitu ketagihan. Adakah anda panik jika bateri telefon sudah hampir mati atau tertinggal semasa anda berada di luar rumah? Bagaimana jika anda hampir kehabisan pelan data atau berada di lokasi tanpa capaian internet? Adakah memeriksa telefon perkara pertama yang dilakukan sejurus bangun daripada tidur? Anda pernah membalas mesej WhatsApp daripada seorang rakan dan tiba-tiba menyedari suapan berita di Facebook anda telah ditatal selama 30 minit?

Fenomena ini bukan unik di negara kita sahaja. Menurut laporan firma teknologi Asurion, secara purata warga Amerika memeriksa telefon mereka setiap 12 minit atau 80 kali sehari! Kadar ini hampir 150 kali sehari pula bagi generasi millenial.  Garis halus yang memisahkan di antara penggunaan dan ketagihan ini berlaku apabila individu mengalami kelemahan fungsi di mana penggunaan telefon pintar mencuri masa pengguna daripada tanggungjawab sebenar seperti pekerjaan dan keluarga. Bahkan untuk sesetengah kes, ketagihan membawa kepada masalah kesihatan seperti kegelisahan, tekanan, sukar untuk tidur dan perasaan kesepian.

Perkara ini disedari umum dan ramai yang cuba mengurangkan masa penggunaan peranti berkenaan. Malah pihak kerajaan sendiri menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pernah melancarkan kempen ‘masa tanpa gajet’ bertujuan mengurangkan masalah ketagihan digital dalam masyarakat beberapa tahun lalu. Anda fikir kempen tersebut berjaya? Walaupun kita sendiri sedar dan berazam untuk mengurangkannya, ianya lebih mudah untuk diperkatakan daripada dilakukan secara berterusan.

Jangan salahkan diri anda sepenuhnya. Aplikasi moden direka dengan sebegitu bijak untuk menarik perhatian dan membuatkan kita ingin menggunakannya selama yang mungkin. Perkara ini dikongsi oleh Tristan Harris, bekas perancang produk untuk firma gergasi teknologi, Google. Menurut beliau, umum menyangkakan teknologi sebagai sesuatu yang neutral, di mana ianya terpulang kepada pengguna untuk menggunakannya. Justeru, kitalah yang memilih dan membuat keputusan untuk membuat hantaran Facebook atau memuat naik gambar di Instagram, sebagai contoh.

Namun, satu perkara yang kurang diberi perhatian adalah kewujudan ekonomi perhatian (attention economy), di mana perhatian dianggap sebagai komoditi dan kesemua pemaju aplikasi perlu memastikan aplikasi tersebut mampu memaksimumkan seberapa banyak perhatian yang diperoleh daripada pengguna. Salah satu teknik yang digunakan oleh aplikasi kegemaran kita semua adalah penggunaan warna yang strategik. Penyelidikan membuktikan kepentingan warna dalam menentukan keutamaan dan juga emosi manusia. Lihat sahajalah warna-warna pada paparan skrin telefon kita. Menarik bukan?

Menyedari kesan manipulasi warna kepada penggunaan peranti, apa yang perlu kita dilakukan? Nasihat yang diberi oleh Harris adalah sangat mudah. Tetapkan skrin telefon kepada monokrom atau skala kelabu. Ideanya adalah untuk menghapuskan warna supaya telefon pintar ini menjadi kurang menarik. Tanpa warna-warna terang ceria untuk menarik perhatian kita, telefon akan hanya berfungsi sebagai suatu gajet atau alat yang praktikal dan bukannya sesuatu yang terlalu menarik. Kesannya kita akan kurang cenderung untuk meluangkan masa terlalu lama dengan aplikasi tersebut kerana ianya memberikan pengalaman yang kurang menyenangkan.

Mengapa taktik ini boleh berjaya? Menurut penyelidik dan pakar neurosains kognitif, Dr. Thomas Zoega Ramsoy, warna hitam putih atau kelabu membuatkan kita lebih mampu mengawal tindakan. Berbanding dengan kehadiran pelbagai aplikasi berwarna-warni yang berlumba-lumba untuk menarik perhatian kita, skrin monokrom atau skala kelabu membuatkan kesemuanya kelihatan serupa. Instagram sudah tidak lagi kelihatan lebih menarik berbanding Twitter!

Hasilnya, anda akan lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi dengan tujuan yang lebih jelas dan khusus. Ini berlaku kerana secara tanpa disedari, minda anda tidak lagi dipengaruhi untuk menggunakannya. Jadi, adakah anda bersedia untuk mencuba perkara ini? Untuk peranti Android ataupun iOS, pertukaran warna ini boleh dicapai dalam tetapan aksesibiliti. Selamat mencuba!