Ketahui anak-anak Rasulullah SAW

Kepercayaan Abi Aasim 07-Mei-2020
Masjid Nabawi, Masjid Nabi © Shakeel Safeek | Dreamstime.com

‘Anak-anak Nabi, ada tujuh orang. Tiga laki-laki. Empat Perempuan.’ Tidak kira kecil atau dewasa, lirik lagu ini tentu biasa kita dengari.

Nabi Muhammad SAW mempunyai tujuh orang anak kesemuanya. Enam adalah daripada hasil perkahwinan Baginda dengan Khadijah binti Khuwailid r.a. Satu lagi adalah hasil perkahwinan Baginda dengan Mariyah Al Qibtiyyah r.a.

Puteri pertama Rasulullah SAW ialah Zainab r.a. Zainab dan ketiga-tiga puteri Rasulullah yang lain juga turut memeluk Islam selepas ibu mereka, Khadijah memeluk Islam. Zainab telah bernikah  dengan Abu al-Ash bin al-Rabi’. Setelah berhijrah ke Madinah, barulah suami beliau juga memeluk Islam.

Puteri Baginda yang kedua ialah Ruqayyah r.a. Ruqayyah telah dinikahkan dengan Uthman bin Affan r.a. Mereka dikurniakan seorang anak bernama Abdullah. Ruqayyah telah meninggal dunia di zaman Perang Badar.

Puteri ketiga Baginda ialah Ummi Kalthum r.a. Ummi Kalthum telah dinikahkan dengan Uthman bin Affan r.a. setelah Ruqayyah meninggal dunia. Kerana itu jugalah Uthman bin Affan digelar Dzu Nurain yang bermaksud pemilik dua cahaya.

Puteri keempat Baginda ialah Fatimah r.a. Fatimah adalah  Puteri bongsu Rasulullah SAW dengan isteri Baginda Khadijah. Fatimah merupakan puteri yang paling disayangi  oleh Rasulullah. Fatimah telah dinikahkan dengan Ali bin Abi Talib r.a. Dari perkahwinan mereka lahirlah Hassan r.a. dan Hussein r.a., cucu-cucu yang sangat disayangi oleh Rasulullah.

Fatimah adalah anak yang paling hampir dan menyerupai Rasulullah SAW. Percakapan dan cara beliau berjalan adalah amat mirip seperti Baginda. Apabila Fatimah datang ke rumah Rasulullah, Baginda selalu menyambutnya dengan menciumnya dan duduk bersamanya.

Kecintaan Rasulullah SAW terhadap Fatimah tergambar dalam sabdanya: “Fatimah adalah sebahagian dariku. Barangsiapa membuatnya marah, maka dia juga telah membuatku marah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Baginda juga bersabda: “Sebaik-baik wanita penduduk syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.” (Hadis riwayat Ahmad)

Putera pertama Rasulullah SAW ialah Qasim r.a. Qasim telah dilahirkan dan meninggal dunia sebelum Baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul.

Putera Baginda yang kedua ialah Abdullah r.a. Abdullah juga meninggal dunia semasa usia yang masih kecil.

Putera ketiga Baginda ialah Ibrahim r.a. Ibrahim merupakan zuriat Baginda bersama Mariyah Al Qibtiyyah. Ibrahim juga turut meninggal dunia semasa usia muda.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mata ini menitikkan air mata dan hati ini bersedih, namun kami tidak mengatakan sesuatu yang tidak diredhai Rab kami. Sesungguhnya kami bersedih dengan kepergianmu wahai Ibrahim.” (Riwayat Bukhari)

Satu-satunya anak Rasulullah SAW yang hidup setelah kewafatan Baginda adalah Fatimah. Setelah 6 bulan kewafatan Baginda Nabi, Fatimah juga telah dijemput oleh Allah SWT.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah-kisah Rasulullah SAW bersama anak-anak Baginda. Semoga kita mampu mendidik dan membesarkan anak-anak seperti ajaran Baginda.