Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Ketahui kepentingan sejadah dalam solat

Solat 12 Feb 2021
Terkini oleh Hanita Hassan
Ketahui kepentingan sejadah dalam solat
Ketahui kepentingan sejadah dalam solat © Nazife Hatipoglu | Dreamstime.com

Setiap bangsa dan keturunan orang muslim memiliki nama yang berbeza untuk sejadah. Orang Arab menyebutnya sebagai ‘Sajjadal’, bagi orang Parsi pula sebagai ‘Janamaz’, sementara orang Turki  menyebut sebagai ‘Namazlik’.

Apa pun nama yang anda pilih, makna ritual sejadah akan tetap sama untuk semua bangsa. Ia adalah cara untuk menjaga kebersihan ibadah solat yang diperintahkan oleh Allah SWT, kesucian tubuh dan kesucian jiwa.

Kepentingan sejadah dalam solat

Allah SWT mengizinkan kita  menunaikan solat di mana-mana tempat yang kita pilih. Nabi Muhammad SAW telah mensahihkannya di dalam banyak koleksi hadis. Namun, yang paling terkenal ialah dalam Bulugh al-Maram.

Bulugh al-Maram ialah kumpulan hadis yang disusun oleh ulama akhir abad ke-14 dan awal abad ke-15 yang diiktiraf, iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 438)

Diriwayatkan daripada Umar r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Bahawa Rasulullah SAW telah melarang daripada melakukan sembahyang di tujuh tempat, iaitu: dalam tempat buangan sampah, di tempat sembelihan, di atas kubur, di tempat lalu lalang, dalam bilik mandi, di tempat rehat unta dan di atas (sutuh) Baitullah.”

(Hadis riwayat Hanbali)

Semasa solat, kita bersujud di hadapan Allah SWT (melakukan apa yang disebut ‘sujud’). Juga membaca ayat al-Quran dan sebagai tanda syukur kepada Yang Maha Kuasa atas Kurniaan dan Rahmat-Nya.

Sujud ialah perbuatan apabila dahi seseorang menyentuh tanah (bumi). Ia dianggap sebagai waktu yang tepat bagi seorang muslim menyucikan jasmani dan rohani untuk memperoleh keunggulan dan kebaikan daripada Allah Taala.

Ketika kita sedang bersolat walau di mana sahaja, sama ada sedar atau tidak, tidak ada jaminan yang kita tidak akan terkena kotoran (najis) yang dilarang oleh Allah SWT (kerana walaupun sedikit, ia boleh menyebabkan solat menjadi tidah sah). Maka, sejadah ini berfungsi sebagai pertahanan terhadap kekotoran tersebut.

Tanda ketakwaan beribadah dan keistimewaan

Umat ​​Islam mula menggunakan sejadah sejak abad ke-10 hingga ke-11 Masehi, ketika Islam tersebar luas di seluruh dunia dan berada jauh di luar Semenanjung Tanah Arab. Secara tradisional, ia mula ditenun selebar 20 inci dengan panjang 60 inci.

Ukuran ini memastikan bahawa ketika sujud, kita akan menyentuh dahi di atas sejadah ini berbanding di atas tanah atau di lantai dan memelihara kesucian daripada terkena najis.

Sejadah juga umpama sebuah ‘masjid kecil’ dan kita boleh merasakannya dalam jiwa bila bersolat. Umat Islam telah memulakan tradisi yang baik ini dengan rekaan-rekaan gambar Kaabah atau masjid, seperti Masjidil Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di  Baitulmuqaddis (Jerusalem).

Turut direka dan dipaparkan adalah masjid tempatan yang terkenal, unsur-unsur geometri Islam, atau hanya sebuah lengkungan dengan dua tiang (mihrab), yang di atasnya menghala ke Mekah.

Sejadah adalah aspek yang paling utama bagi kesucian dan kebersihan yang mesti dipatuhi sebagai Muslim ketika melakukan ibadah solat di luar masjid. Untuk tujuan itu, kadang-kadang sehelai kain turut diletakkan di bawahnya sebagai pelapik.

Namun, bagi umat Islam, ia adalah tanda ketakwaan beribadah dan keistimewaan khas apabila menggunakan sejadah. Ini adalah perkara lumrah yang menjadi khusus bagi muslim sedunia, memastikan yang solat mereka istimewa untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.