Ketahui mengenai adab-adab ketika bersahabat

Falsafah Hannan
Pilihan oleh Hannan
Ketahui mengenai adab-adab ketika bersahabat
Ketahui mengenai adab-adab ketika bersahabat © JuPhotostocker | Dreamstime.com

Semua orang mempunyai seorang sahabat. Sahabat kita boleh jadi siapa sahaja tidak kiralah teman satu sekolah, kawan sekerja ataupun pasangan kita sendiri.

Walaupun mereka ini merupakan orang yang rapat dengan kita, masih ada adab dalam bersahabat yang perlu dijaga.

Hadis tentang tiga perkara yang mengerat persahabatan

Sabda Rasulullah SAW:

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya, dan menyediakan tempat duduknya dalam satu majlis, serta panggillah dia dengan nama yang paling disenanginya.”

(Hadis riwayat at-Tabrani)

Baginda Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahaya masih ada had yang perlu dijaga ketika bersahabat. Sebagai contoh, elakkan memanggil kawan dengan panggilan yang tidak disenanginya.

Namun, bukan adab bersahabat sahaja yang perlu dijaga, kawan juga perlulah dipilih dengan baik supaya mereka mempunyai kesefahaman dengan kita.

Disebabkan kita sedang bercakap mengenai persahabatan, penulis ingin berkongsi mengenai falsafah persahabatan Aristotle untuk bacaan semua.

Falsafah persahabatan Aristotle

Pernahkah anda mendengar mengenai falsafah persahabatan Aristotle? Aristotle merupakan salah seorang ahli falsafah barat yang ulung dan banyak memberikan sumbangan di dalam bidang fizik, biologi, psikologi, matematik, metafizik, dan banyak lagi.

Malah, disebabkan sumbangannya yang besar dan meliputi pelbagai bidang, sukar untuk menentukan berapa banyak tulisan yang telah beliau hasilkan. Walaupun selepas 2000 tahun kematiannya, Aristotle masih lagi kekal sebagai salah seorang pemikir yang terhebat sepanjang zaman.

Namun, Aristotle mempunyai pendapatnya yang tersendiri terhadap persahabatan. Menurut beliau, persahabatan boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

Persahabatan yang pertama terbina di atas dasar kemudahan. Di dalam hubungan jenis ini, dua orang bersahabat disebabkan manfaat yang boleh mereka dapat daripada satu sama lain.

Persahabatan yang kedua pula dibina di atas dasar keseronokan. Selalunya, dua orang ini akan bersahabat kerana mereka ingin berseronok bersama-sama. Malah, persahabatan jenis ini juga amat lazim dalam kalangan remaja dan juga mereka yang baru menginjak dewasa.

Persahabatan yang ketiga pula merupakan satu-satunya jenis persahabatan yang kekal lama. Persahabatan jenis ini selalunya dikongsi oleh dua orang insan dengan nilai yang sama. Mereka juga mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap satu sama lain.

Malah, persahabatan jenis ini juga mempunyai ikatan emosi yang lebih mendalam berbanding dua jenis persahabatan lain yang dikatakan bersifat sementara.

Jaga adab ketika bersahabat

Adab ketika bersahabat merupakan sesuatu yang sering diajar oleh guru-guru sejak di bangku sekolah lagi. Salah satu daripadanya ialah menjaga percakapan ketika berbicara.

Ketika bercakap dengan kawan, mudah untuk kita menyampuk dan bergurau tidak bertempat. Walau bagaimanapun, sahabat kita mungkin akan terasa hati jika gurauan kita melampaui batas.

Selain itu, pastikan kita juga sentiasa terbuka hati untuk menerima sebarang pendapat daripada sahabat baik kita. Kadangkala, mereka memberi nasihat untuk kebaikan kita juga.

Walaupun kita mempunyai perbezaan dari segi latar belakang, bangsa dan agama, sahabat kita masih perlu dihormati. Mereka juga mampu memberikan perspektif yang baharu dah segar untuk kita.

Sebagai sahabat yang baik juga, kita haruslah sentiasa memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh teman-teman kita. Elakkan memerli dan menempelak mereka kerana perbuatan ini hanya akan memutuskan tali persahabatan.

Akhir sekali, sentiasalah mendoakan sahabat kita. Insya-Allah, mereka juga akan turut mendoakan kesejahteraan kita di dunia dan juga di akhirat.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.