Ketahui mengenai Jata Negara

Kehidupan Chan Abdullah 07-Jul-2020
Jata Negara Malaysia © By Public Domain, Link

Lambang negara Malaysia turut dikenali sebagai Jata Negara. Jata negara merupakan lambing rasmi negara Malaysia. Jata negara telah diwartakan pada tahun 1952 oleh Raja-raja Melayu. Elemen-elemen yang terdapat dalam jata negara telah menggabungkan ciri-ciri negara Malaysia di dalam satu imej.

Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur. Enam warna asas telah digunakan dalam rekaan jata negara. Bintang pecah 14 yang terdapat dalam rekaan jata negara mewakili 13 buah negeri di Malaysia. Satu lagi bintang pecah mewakili Wilayah Persekutuan yang ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan.

Dua harimau di kiri dan kanan Jata Negara melambangkan keberanian, kekuatan dan kegagahan negara Malaysia. Lima keris mewakili negeri-negeri Melayu tidak bersekutu iaitu Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Imej Pokok Pinang dan Pokok Melaka di kiri dan kanan persiai mewakili negeri Pulau Pinang dan Melaka yang merupakan sebahagian daripada Negeri-negeri Selat satu ketika dahulu.

Empat jalur berwarna di tengah-tengah Jata Negara melambangkan negeri-negeri Melayu bersekutu. Hitam dan putih mewakili Pahang. Merah dan kuning mewakili Selangor. Hitam, putih dan kuning mewakili Perak. Merah, hitam dan kuning mewakili Negeri Sembilan.

Tiga kotak di bahagian bawah pula melambangkan negeri. Negeri Sabah di bahagian kiri dan negeri Sarawak di bahagian kanan. Di bahagian tengah pula terdapat Bunga Raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia.

Warna kuning pada Jata Negara adalah melambangkan warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja. Cogan kata ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ ditulis dalam tulisan Rumi di sebelah kiri. Manakala di sebelah kanan ditulis menggunakan tulisan Jawi.

Sebagai warga negara Malaysia, kita seharusnya menghormati Rukun Negara dan patuh kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh perlembagaan. Jata Negara yang menjadi lambang rasmi negara Malaysia haruslah dihormati sepenuhnya.

Atas apa jua kapasiti dan alasan, Jata Negara seharusnya tidak diperlekehkan diperolokkan atau dijadikan bahan gurauan. Sikap tidak bertanggungjawab ini adalah amat memalukan dan mencemar maruah negara.

Sayangilah negara kita Malaysia yang tercinta. Marilah sama-sama kita bersatu dan bekerjasama agar bendera Malaysia terus berkibar megah di angkasa dan di serata dunia.