Ketahuilah, keluar mencari nafkah keluarga itu jihad di jalan Allah SWT!

Keluarga Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Ketahuilah, keluar mencari nafkah keluarga itu jihad di jalan Allah SWT!
Ketahuilah, keluar mencari nafkah keluarga itu jihad di jalan Allah SWT! © Szefei | Dreamstime.com

Ketahuilah, keluar mencari nafkah untuk keluarga itu jihad di jalan Allah SWT – mencari nafkah merupakan satu keperluan hidup. Ini terutamanya bagi mereka yang menjadi ketua keluarga.

Tahukah anda, bahawa mereka yang keluar mencari nafkah untuk keperluan keluarga dianggap sedang berjihad?

Pengertian nafkah yang sebenar

Kita sering berbicara mengenai pencarian nafkah untuk keperluan diri dan juga keluarga. Namun, adakah kita benar-benar mengetahui makna di sebalik perkataan ‘nafkah’ itu sendiri?

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, nafkah membawa makna wang, makanan atau lain-lain perkara yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Ia juga boleh membawa maksud makanan atau rezeki untuk setiap hari.

Dalam kata yang lebih mudah, ia bermaksud sara hidup. Nafkah mempunyai dia jenis iaitu nafkah zahir dan juga nafkah batin.

Bekerja mencari nafkah adalah satu ibadah

Walaupun mencari nafkah itu adalah satu kewajipan bagi ketua keluarga, namun ia juga adalah satu bentuk amal soleh yang diganjari dengan pahala oleh Allah Taala. Allah memberikan pahala kepada mereka yang mencari nafkah dan menyara keluarganya seolah-olah pahala orang yang bersedekah.

Allah Taala akan menggantikan harta nafkah yang diberikan kepada keluarganya dengan rezeki yang lebih baik. Nilai ganjaran ini boleh difahami dengan lebih baik melalui maksud hadis di bawah ini:

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

“Satu dinar yang engkau keluarkan di jalan Allah, lalu satu dinar yang engkau keluarkan untuk memerdekakan seorang budak, lalu satu dinar yang engkau keluarkan untuk satu orang miskin, dibandingkan dengan satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, maka pahalanya adalah lebih besar daripada kesemua amalan kebaikan yang disebutkan tadi.”

(Hadis riwayat Muslim)

Mencari nafkah adalah satu jihad di sisi Allah Taala

Mencari nafkah juga dikira sebagai salah satu amalan jihad di jalan Allah SWT. Ini boleh dilihat daripada maksud hadis seperti berikut:

“Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Pada ketika kami bersama Rasulullah S.A.W, tiba-tiba muncul seorang pemuda daripada lembah di hadapan kami. Ketika kami melihat kepada pemuda itu, kami berkata: “Semoga pemuda tersebut menggunakan kerajinannya, waktu mudanya serta kekuatannya di jalan Allah.” Rasulullah telah mendengar ucapan kami lalu bersabda: “Adakah yang dinilai syahid itu hanya mereka yang mati ketika berperang? Barang siapa yang bekerja untuk kedua ibu bapanya, maka dia di jalan Allah. Barang siapa yang bekerja (mencari nafkah) untuk keluarganya, maka dia juga di jalan Allah. Dan barang siapa yang bekerja hanya untuk menambahkan hartanya semata-mata, maka dia di jalan syaitan.” 

Allah SWT suka kepada mereka yang letih mencari rezeki

Mungkin adakalanya kita mengeluh kerana keletihan mencari nafkah setiap hari. Apatah lagi jika pekerjaan yang dilakukan itu agak berat dan jauh daripada lokasi kediaman.

Sekiranya kita pernah mengeluh keletihan seperti ini, ingatlah bahawa Allah Taala amat menyukai orang-orang yang letih mencari rezeki. Allah bukan hanya memberikan pahala kepada para pencari rezeki, tetapi juga mengampunkan dosa kita pada hari tersebut.

Allah SWT amat menyukai mereka yang keluar mencari rezeki yang halal kerana ia dianggap satu ibadah yang penting selepas solat fardhu. Ingatlah, setiap apa yang kita kerjakan ikhlas kerana Allah, pasti akan diganjari dengan ganjaran khusus oleh-Nya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.