Ketakwaan yang didambakan dan bulan Ramadan

Psikologi Siti Suriani Othman
Siti Suriani Othman
Ketakwaan yang didambakan dan bulan Ramadan
Ketakwaan yang didambakan dan bulan Ramadan © Fotografiecor | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan tentang kepentingan Muslim memahami konsep takwa dalam Islam.

Konsep Takwa menurut tradisi Islam

Sayidina Ali r.a berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

Dengan maksud lebih mudah Abdullah bin Mas’ud r.a menerangkan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.”

Persoalan selanjutnya, mengapakah ketakwaan itu isu yang penting dalam Islam dan perlu dicapai umat Islam? Tidak cukupkah menjadi seorang Muslim yang mengerjakan segala perintah Allah Taala dan meninggalkan larangannya, mengapa pula perlu menjadi seorang yang bertakwa?

Dalam Islam, ketakwaan itu penting kerana itulah neraca yang menentukan kedudukan seseorang Muslim di sisi Allah SWT. Maksudnya, manusia yang tinggi takwanya, diletakkan di kedudukan yang tinggi dan sebaliknya.

Kelebihan menjadi manusia yang diletakkan tinggi di sisi Allah Taala termasuklah banyak urusannya dipermudahkan, mendapat pelbagai ganjaran dari Allah serta mendapat kelebihan syurga.

Ambil peluang tingkatkan takwa di bulan Ramadan

Berbalik kepada bagaimana mencapai tahap ketakwaaan yang tinggi. Ketakwaan boleh dicapai dengan memiliki jiwa kita sendiri iaitu mempunyai kawalan penuh terhadap diri, dan berpuasa adalah antara jalan mencapainya.

Ini bermaksud, melalui puasa, seseorang individu itu boleh memiliki nafsu dan dalam masa yang sama menyalahi kehendak nafsunya melalui mekanisme pengawalan berpuasa.

Menariknya, ketika berpuasa, melawan kehendak nafsu dilakukan sepanjang masa. Di siang hari, melawan nafsu makan yang paling jelas dilakukan, dan ketika berbuka pula, melawan nafsu makan berlebihan.

Di sini, bulan Ramadan menyediakan ruang latihan kepada kita untuk mengawal nafsu secara sistematik. Menerusinya, semoga kita dapat mencapai ketakwaan yang boleh digunakan untuk 11 bulan yang akan datang.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.