Ketetapan Allah dan perasaan reda

Kepercayaan Hanita Hassan 08-Jun-2020
Ketetapan dan reda kepada Allah © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Takdir Allah SWT sudah ditetapkan kepada setiap manusia.  Sebagai mukmin yang beriman, kita hendaklah reda dengan ketentuan Allah. Reda atau redha bermaksud menerima dengan rasa senang apa yang diberikan  Allah baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada atau sesuatu ketentuan.

Reda menerima hukum Allah SWT adalah manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah SWT kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak berasa terpaksa atau dipaksa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Dan alangkah baiknya jika mereka reda dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata:  “Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnia-Nya.  Sesungguhnya kepada Allah kami memohon pengharapan.”  (Surah At Taubah, ayat 59)

Reda dengan qada pula iaitu menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT baik berupa nikmat mahupun musibah dengan berlapang dada. Penularan pandemik COVID-19 yang didatangkan oleh Allah SWT sejak beberapa bulan lalu juga hendaklah diterima dengan penuh keredaan.

Kehidupan dalam normal baharu adalah ujian kepada setiap daripada kita. Namun, seperti yang baru diumumkan, kita bersyukur dengan kehadiran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun ini yang menandakan keadaaan juga telah semakin pulih keseluruhannya, alhamdulillah.

Apabila diuji dengan masalah, musibah atau kematian, inilah masanya untuk  menilai sikap kita sama ada  istiqamah dan bersangka baik terhadap ketentuan Allah SWT atau sebaliknya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:  Allah SWT berfirman: “Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT  kerana setiap perkara atau ketentuan  itu adalah di luar daripada kotak pemikiran dan tidak boleh diubah-ubah.  Ia telah tertulis sejak di Loh Mahfuz.

Sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Diri-nya kerana bagi Dia-lah sebaik-baik Pencipta.  Dia Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.  Selain itu, bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah itulah yang paling baik, dibanding dengan pilihan dan kehendak peribadi berkaitan diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata:  jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya.  Melainkan hendaklah kamu katakan:  Allah telah mentakdirkan dan apa yang Ia suka, Ia perbuat! Kerana sesungguhnya perkataan :  andaikata…itu memberi peluang kepada syaitan.”  (HR Muslim)

Kita bersangka baik dengan Allah SWT, kita lakukan solat lima waktu dan tambahkan  amalan kebaikan, dengan berpuasa sunat dan bersedekah.  Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran kepada kita yang memiliki keyakinan kepada-Nya. Allah juga tidak memungkiri janji.