Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Ketidakfahaman mengenai penubuhan Wilayah Persekutuan

Kehidupan Adea Ghafar 31-Jan-2020
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur © Calvingsc | Dreamstime.com

Tahukah anda mengapa Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya digelar Wilayah Persekutuan? Sambutan Hari Wilayah Persekutuan diraikan pada 1 Februari setiap tahun. Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Februari 1974 apabila Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian daripada Selangor, telah diserahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kepada kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara Malaysia.

Labuan diisytihar menjadi Wilayah Persekutuan kedua pada 1984, diikuti Putrajaya pada 2001. Semua wilayah ini diselia oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan setiap wilayah ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Kuala Lumpur), Perbadanan Labuan (Labuan) dan Perbadanan Putrajaya (Putrajaya). Di bawah KWP, pelbagai pembangunan moden yang melibatkan prasarana dan infrastruktur telah dinikmati oleh penduduk Wilayah Persekutuan.

Profesor Dr Zaid Ahmad dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ramai yang masih tidak memahami kepentingan tiga wilayah yang ditetapkan sebagai Wilayah Persekutuan. Penyatuan tiga wilayah ini dilihat sebagai penting dalam merangsang perpaduan dan pertumbuhan ekonomi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Walaupun perayaan Hari Wilayah Persekutuan memasuki tahun ke-16, ramai yang masih kurang memiliki rasa kekitaan dan berbangga menjadi warga Wilayah Persekutuan. Ini berkemungkinan kerana kebanyakan penduduk tidak lahir dan membesar di situ. Namun, ini boleh diubah dengan menanamkan semangat patriotisme pada generasi sekarang, bermula dari prasekolah.

Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan berkata, 29 program yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 dijangka terus menjadi pemacu utama agenda mengukuhkan perpaduan pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum, terutamanya di Wilayah Persekutuan. Ini adalah sebahagian usaha untuk mewujudkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat setempat.

Semoga tema tahun ini, ‘Sayangi Wilayahku’ diharap dapat mewujudkan perasaan kesatuan yang berterusan dan benar-benar boleh dicapai. Khalid menyeru kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan untuk terus bekerjasama menjadikan wilayah masing-masing lebih makmur dan mampan.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!