Ketuk-ketuk sahur tradisi yang makin pudar

Budaya Hanita Hassan 11-Mei-2020
Ramadan menjelang waktu subuh © Hemin Xylan Mahzan | Dreamstime.com

Suatu hal yang mengingatkan kita tentang puasa ialah waktu mengejutkan ahli keluarga untuk bangun sahur.  Hari ini meskipun jam loceng yang ditetapkan di telefon pintar sudah berbunyi-bunyi menggegarkan telinga, kita masih sukar untuk bangun bersahur.  Adakala terpaksa berlapar kerana tidak sempat berjaga.

Ketika teknologi belum berkembang pesat, alat yang paling ringkas dan mudah untuk mengejutkan penduduk kampung bangun sahur ialah dengan menggunakan bunyi-bunyian.  Antaranya baldi, tin dan tong yang apabila dipukul akan mengeluarkan bunyi yang kuat dan lantang.

Salah sebuah kampung yang masih mengamalkan tradisi ini ialah Kampung Bukit Piatu yang terletak di negeri Melaka.  Setiap tahun aktiviti ini dijalankan oleh sekumpulan penduduk kampung, tua dan muda yang akan berkumpul dan bersama-sama membangunkan penduduk kampung untuk bersahur bermula dari jam tiga  pagi sepanjang Ramadan.

Perubahan zaman telah merubah penggunaan tong besi kepada alat-alat muzik tradisional seperti kompang, gendang, serunai, gong dan tambrin. Tambah meriah sambil memainkan alat-alat muzik, ahli-ahli ketuk-ketuk sahur akan mengalunkan lagu malar segar seperti Madu Tiga dan Ali Baba nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika bergerak dari rumah ke rumah.

Suasana ini menimbulkan kegirangan kepada penduduk kampung khususnya anak-anak kecil yang baharu belajar berpuasa.  Ia juga sering dinanti-nantikan setiap kali Ramadan menjelma.

Dikatakan sejarah ketuk-ketuk sahur di kampung Bukit Piatu bermula sejak lebih 75 tahun dengan penglibatan orang tua kampung, tetapi kini telah diambil alih oleh golongan muda.   Tahun ini, dengan kemunculan pandemik COVID-19, aktiviti ini terpaksa ditiadakan.

Aktiviti ketuk-ketuk sahur juga menjadi tradisi bagi masyarakat di Gampong Beurawe, Aceh.  Mereka memperdengarkan alunan suara yang merdu bagi mengejutkan penduduk kampung untuk bersahur.

Kepentingan bersahur ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri yang maksudnya:  “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan.  Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air.  Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.” [Riwayat Imam Ahmad (11102) di dalam Musnadnya]

Kesimpulannya, bersahur adalah sunnah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW serta para sahabat Baginda.  Walaupun puasa kita sah tanpa bersahur, tetapi dengan bersahur kita akan mendapatkan keberkatan di dalamnya.

Sudah lebih 15 hari kita berada dalam kerahmatan Ramadan.   Sekiranya ini adalah puasa kita yang pertama kali dilakukan, sudah tentu kita sudah mula mengadaptasi keadaan sebenar berpuasa, menahan lapar dan dahaga sejak subuh hingga ke maghrib.  Puasa mengajar kita erti kesabaran.  Puasa juga mengajar kita menahan hawa nafsu.

Semoga kita terus taat beristiqamah melakukan ibadat berpuasa, sambil membantu mereka yang memerlukan terutama dalam pasca-COVID 19 yang menyaksikan banyak perubahan berlaku dalam kehidupan  rakyat dan negara di seluruh dunia, khususnya bagi seluruh umat Islam.