Ketupat, lemang dan rendang menu wajib

Makanan Hanita Hassan 23-Mei-2020
Ketupat dan lemang hidangan di hari raya © Keechuan | Dreamstime.com

Bagi masyarakat Melayu, pagi raya tidak lengkap jika ketupat, rendang dan lemang tidak terhidang di atas meja.  Makanan warisan ini bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi juga kaum lain seperti Cina dan India di Malaysia.

Biasanya pada petang sebelum hari raya, tuan rumah akan menyediakan sarung ketupat iaitu bahan asas yang mesti ada untuk membuat ketupat. Sarung ketupat diperbuat daripada daun kelapa yang dianyam kemas bagi membolehkan beras diisi di dalamnya sebelum direbus menjadi ketupat.

Hari ini, kita tidak perlu menganyam daun ketupat kerana sarungnya ada dijual di kedai-kedai mahupun pasar berhampiran. Sekiranya kita mahu menganyam sendiri, kita boleh dapatkan daun  kelapa yang segar dan muda.  Segmen menarik dan melucukan di petang raya adalah ketika kaum keluarga berkumpul dan bersama-sama menyiapkan sarung ketupat. Ia tidak rumit dan mudah dibuat.

Setiap kali Aidilfitri menjelma, kita terpaksa belajar semula seni menganyam daun ketupat.  Penggunaan daun kelapa bukan sahaja mengekalkan warisan ketupat tetapi juga hasilnya nasi yang dimasak di dalam sarung ketupat itu menghasilkan bau yang lebih harum dan menyelerakan.  Itulah uniknya ketupat.

Pembakaran lemang juga dibuat pada petang raya.  Biasanya buluh telah dicari lebih awal sebelum kerja-kerja memasak lemang dibuat.  Setelah dibersihkan, daun pisang digunakan untuk mengalas bahagian dalam buluh sebelum beras pulut yang siap dicuci bersama santan dimasukkan ke dalamnya.  Proses memasak lemang secara tradisional menggunakan api sederhana mengambil masa sehingga tujuh jam sebelum ia boleh dimakan.

Tugas memasak lemang biasanya diuruskan oleh kaum lelaki.  Manakala kaum wanita akan menyediakan rendang sama ada daging atau ayam.  Ramuan utama rendang ialah  rempah, santan, kerisik, bawang, daun kunyit, halia, serai dan daun limau purut.  Kesemua ramuan ini akan dimasak sehingga naik bau sebelum memasukkan daging atau ayam.  Untuk memastikan rendang tahan lama, jika menggunakan ayam, hendaklah digoreng dahulu sebelum disatukan ke dalam ramuan rendang.

Hidangan ketupat, lemang dan rendang yang enak dan dimasak dengan penuh kasih sayang untuk hidangan  para tetamu di hari raya akan mengeratkan silaturahim.  Sikap memuliakan tetamu sangat dituntut oleh Islam.  Nabi SAW mengaitkan sifat itu dengan nilai iman.

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka jangan sakiti jirannya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Aidilfitri adalah masa untuk kita bersyukur dan bergembira.  Apabila menerima tetamu, layan mereka dengan hati terbuka. Hidangkan juadah hari raya mengikut kemampuan.  Semoga Aidilfitri ini dapat mengeratkan silaturahim.