Keunggulan bulan Ramadan

Budaya Chan Abdullah 01-Mei-2020
Penuhi Ramadan dengan ibadah © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Ramadan membawa maksud panas yang sangat terik. Diberi nama sedemikian kerana pada bulan tersebut biasanya keadaan cuaca di tanah Arab adalah panas terik dan kering. Maka, maksud panas tersebut diharapkan dapat membakar dan menghapuskan dosa-dosa orang yang berpuasa di bulan Ramadan. Terutamanya mereka yang menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan.

Terdapat pelbagai keistimewaan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Yang jelas, terdapat ibadah solat tarawih yang mana hanya boleh dilakukan di dalam bulan Ramadan. Pintu rahmat terbuka luas dan Ramadan adalah waktu mustajab untuk berdoa. Pintu syurga terbuka luas, manakala pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya.

Seterusnya, antara keunggulan Ramadan ialah:

  • Bulan diturunkan Al-Quran ke dunia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185: “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil.”
  • Bulan turunnya malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr, ayat satu hingga tiga: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
  • Bulan di mana umat Islam beroleh kemenangan yang besar. Kemenangan di dalam Peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan. Juga dapat menawan Kota Mekah dari tangan kafir Quraisy dan memasuki kota Mekah yang disebut sebagai Fathu al-Fakkah.
  • Syaitan dan iblis dibelenggu. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu janganlah kita sekadar membiarkan Ramadan ini berlalu pergi tanpa pengisian yang bermakna. Pelbagai aktiviti pengisian di bulan Ramadan boleh dilakukan seperti memperbanyakkan bersedekah, membaca Al-Quran, solat tarawih berjemaah, menghidupkan malam dengan ibadah dan menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Seharusnya kita ambil peluang untuk memperbanyakkan amalan di bulan Ramadan ini. Semoga segala amalan yang kita lakukan diberkati dan diterima oleh Allah SWT.