Keunggulan etika dan akhlak Islam

Pendidikan Aimy Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Keunggulan etika dan akhlak Islam
Keunggulan etika dan akhlak Islam © Leila Ablyazova | Dreamstime.com

Etika dan akhlak Islam berteraskan kepada dua sumber utama syariat, iaitu al-Quran dan hadis. Kedua-dua sumber utama ini mengandungi prinsip dan falsafah akhlak yang lengkap serta bermatlamat.

Etika dan akhlak: Islam lwn. Barat

Falsafah akhlak islam tidak sama dengan falsafah etika barat kerana mereka hanya berpandukan akal serta kecenderungan umum tanpa bimbingan wahyu yang tuntas. Kesannya, prinsip etika mereka serba tidak konsisten dan terdedah dengan pelbagai kelemahan sesuai dengan pemikiran manusia yang berubah-ubah.

Sejarah membuktikan ketika zaman jahiliah, anak perempuan dibunuh dan wanita dinafikan haknya dengan kejam. Budaya ini diterima umum ketika itu dan ia jelas menandakan kerencatan jiwa masyarakat yang jauh daripada bimbingan wahyu.

Dunia barat pada hari ini tidak jauh bezanya apabila meretifikasi keharusan pengguguran bayi kerana budaya seks bebas yang tidak terkawal. Ini termasuklah proses normalisasi kumpulan LGBT, pengiktirafan tuntutan gerakan feminisme dan lain-lain lagi.

Suruhan Al-Quran sering diapit dengan matlamat akhlak

Al-Quran merupakan sumber pertama dalam memahami etika dan akhlak Islam. Ia mengandungi konsep ketinggian akhlak dan kemuliaannya yang perlu disemat ke dalam keperibadian seorang muslim.

Sekiranya diteliti kalam Allah SWT ini,  kita akan dapati bahawasanya seluruh suruhan agama yang terkandung di dalam Al-Quran sering diapit dengan matlamat akhlak. Dan sekiranya manusia benar-benar mengikuti wahyu ini, sudah pasti kehidupan manusia akan lebih aman dan damai. Contohnya:

Suruhan solat bermatlamatkan supaya menjauhi kemungkaran.

“Dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah Al-Ankabut, Ayat 45)

Suruhan zakat bermatlamatkan penyucian hati.

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”

(Surah At-Taubah, ayat 103)

Teras keunggulan akhlak Islam

Secara ringkasnya, konsep akhlak Islam bersifat unggul kerana kepatuhan kepada Allah dikira sebagai akhlak yang tertinggi. Dasar ini sangat penting kerana tiada yang lebih mengenal fitrah makhluk melainkan penciptanya sendiri dan solusi yang datang daripada-Nya merupakan satu-satunya jalan penyelesaian kepada kemelut masyarakat.

Dengan kata lain, akidah yang tersemat rapi dalam jiwa seseorang memunculkan perasaan bahawasanya setiap gerak-geri sentiasa diawasi. Hal ini membentuk suasana kesungguhan melakukan kebaikan serta ketakutan melakukan kerosakan peribadi mahupun kezaliman kepada orang lain.

Bukan itu sahaja, Islam mewajibkan pula amar makruf nahi mungkar kepada setiap penganutnya. Kesannya, sesuatu kemungkaran dapat dikawal sebelum membarah menjadi budaya arus perdana sekaligus mengelakkan penormalan maksiat dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya, panduan Islam itu sudah cukup lengkap untuk memandu manusia mencapai keharmonian tertinggi dalam kehidupan. Namun, manusia sering mendahulukan nafsu, emosi dan sentimen untuk menentukan matlamat hidup yang sebenarnya fatamorgana rekaan syaitan.

Firman Allah Taala:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah Al-Maidah, ayat 3)