Keunikan atap Singgora dalam seni bina Melayu di Malaysia

Seni Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Atap Singgora © facebook.com/bataatap.singgora
Atap Singgora © facebook.com/bataatap.singgora

Pada sekitar tahun 1960-an, terdapat lebih kurang 40 perusahaan yang mengusahakan pembuatan atap Singgora di Kelantan. Namun kini, hanya tinggal satu sahaja sahaja bengkel yang masih mengusahakan atap seni bina rumah Melayu ini.

Apakah istimewanya atap Singgora ini?

Pembuatan atap Singgora

Atap Singgora ini berasal dari sebuah wilayah di Thailand yang kini dikenali sebagai Songkhla. Seni pembuatan ini kemudiannya dibawa masuk ke Kelantan terutamanya di kawasan Bachok.

Pada masa sekarang, kebanyakan kediaman menggunakan atap daripada material seperti keluli atau jubin. Namun, pada zaman dahulu, masyarakat Melayu menggunakan atap Singgora sebagai salah satu jenis atap untuk kediaman mereka.

Ini kerana, bentuknya lebih menarik, ringan dan boleh menyerap air ketika waktu hujan. Atap Singgora ini diperbuat daripada tanah liat yang berkualiti tinggi. Ia kemudiannya dicampurkan dengan sejenis tanah liat lain yang disebut sebagai ‘grog’, yang diambil dari kawasan sawah padi atau sungai.

Campuran tanah liat ini juga dicampurkan dengan beberapa bahan lain bagi menghasilkan atap dengan warna yang berbeza. Besi merah, besi hitam, tembaga dan kobalt akan dicampurkan bagi tujuan pewarnaan tanah liat sebelum diacu dan dibentuk menjadi atap.

Kelebihan atap Singgora

Salah satu perkara menarik semasa proses pembuatannya ialah bagaimana ia diacu. Tanah liat akan diletakkan pada satu papan acuan yang diperbuat daripada kayu. Ia kemudiannya akan dipijak dengan menggunakan kaki sebelum baki tanah liat tersebut dipotong dengan menggunakan tali.

Tanah liat yang telah diacu akan dikeluarkan daripada acuan dan disusun sebelum dibakar. Sebelum ia dibakar, atap ini akan dijemur terlebih dahulu di bawah cahaya matahari selama satu jam. Selepas itu, ia akan dimampatkan terlebih dahulu dan kemudiannya dibakar untuk menguatkan strukturnya.

Selain daripada sifatnya yang ringan dan berbentuk menarik, atap Singgora juga boleh membantu menyejukkan kediaman. Ini kerana atap Singgora berkebolehan menyerap air ketika hujan, dan menurunkan suhu dalam rumah terutamanya pada waktu siang.

Harga bagi setiap keping atap ini juga sangat murah berbanding material atap lain.

Cabaran yang dihadapi oleh atap Singgora pada masa kini

Antara punca mengapa industri penghasilan atap ini merosot adalah disebabkan kemunculan bahan seni bina lain yang lebih moden dan kukuh. Antaranya seperti simen, zink dan asbestos. Selain itu, permintaan terhadap atap jenis ini juga sudah semakin berkurangan.

Bahan utama untuk membuat atap juga sudah semakin berkurangan dan agak sukar untuk dicari. Disebabkan faktor-faktor seperti ini, industri pembuatan atap ini sudah berkurangan sehingga hanya tinggal satu bengkel sahaja yang masih meneruskannya.

Bengkel tersebut adalah bengkel ‘Kraf Atap Singgora Mek Jah’ yang terletak di Bachok, Kelantan. Ia kini diuruskan oleh anak-anaknya yang masih lagi meneruskan legasi pembuatan atap tradisional ini.

Untuk melestarikan penggunaan atap Singgora mungkin tidak sukar. Cabaran sebenarnya ialah kekurangan bahan mentah untuk membuatnya. Oleh itu, perlu terdapat usaha daripada segi inovasi dan transformasi agar atap ini boleh terus dihasilkan dan digunakan pada masa kini.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.