Keunikan masakan kaki ayam penambat selera

Makanan Chan Abdullah 08-Ogo-2020
Sup Kaki Ayam © muhamad mizan | Dreamstime.com

Sesetengah orang mungkin janggal dan sedikit kurang selesa apabila melihat menu masakan kaki ayam. Namun sebenarnya sajian masakan berasaskan kaki ayam menjadi tarikan kepada penggemarnya yang tersendiri. Malah, kaki ayam digemari oleh pelbagai bangsa . Pastinya, penggemar kaki ayam tidak melepaskan peluang jika dihidangkan juadah kegemaran mereka.

Apa yang uniknya kaki ayam ini? Nak makan sahaja terbayang kaki ayam menguis tanah, terus tidak tertelan. Itu mungkin kata-kata daripada  mereka yang tidak menggemarinya. Namun berbeza pula dengan mereka yang menggemari kaki ayam. Rasanya yang berlemak dan isinya yang lembut memang enak sekali.

Kaki ayam sangat sedap dimasak dalam pelbagai jenis masakan. Ada yang suka dimasak sebagai kari, ada yang suka dimasak sebagai sup dan ada juga yang suka hanya digoreng  sahaja. Bagi yang ingin mencuba keunikan rasa kaki ayam ini, bolehlah cuba beberapa resepi masakan berasaskan kaki ayam seperti berikut:

Kerabu Kaki Ayam

Kaki ayam perlu direbus hingga empuk terlebih dahulu. Setelah itu toskan airnya. Sementara itu, hiriskan halia, bawang merah, serai, daun ketumbar, cili padi dan bunga kantan. Gaul sekata dan campurkan bersama kaki ayam. Perasakan dengan serbuk perasa, sedikit garam, gula dan juga perahan air limau nipis. Mudah dan ringkas sahaja hidangan ini sebenarnya, tetapi rasanya memang unik dan penuh perisa.

Kari Kaki Ayam

Kalau tidak mahu menunggu masa lama untuk masak kari, kaki ayam boleh direbus secara berasingan terlebih dahulu. Setelah itu toskan dan simpan air rebusan tersebut. Tumiskan hirisan bawang putih, bawang merah, halia, bunga lawang dan kayu manis sehingga naik bau. Setelah itu, masukkan kari yang telah digaulkan dengan air. Masak kari hingga naik minyak, dan masukkan santan dan air rebusan kaki ayam tadi supaya tidak terlalu pekat. Apabila mendidih, masukkan kaki ayam. Gaul rata dan biarkan selama lima minit sebelum menutup api dapur.

Sup Kaki Ayam

Kuah sup kaki ayam memang sedap untuk dihirup. Panaskan minyak, tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan rempah sup sehingga naik bau. Masukkan sup bunjut atau perencah sup  dan tuangkan air mengikut sukatan yang diinginkan. Reneh atau didih sup bersama-sama dengan kaki ayam. Apabila telah mendidih, daun bawang juga bawang goreng. Biarkan selama lima minit sebelum api ditutup.

Bagi yang berminat bolehlah mencuba resepi ringkas kaki ayam yang telah dikongsikan. Selamat mencuba!