Keunikan seni bina Masjid Kampung Kling di Melaka

Sejarah Hanita Hassan
Hanita Hassan
Keunikan seni bina Masjid Kampung Kling di Melaka
Keunikan seni bina Masjid Kampung Kling di Melaka © Florian Blümm | Dreamstime.com

Masjid Kampung Kling merupakan antara masjid tertua di negeri Melaka.  Ia juga dikenali dengan nama Masjid Kampung Pali atau Balik Pali atau Kampung Kapar.

Menurut sejarah, ia dibangunkan pada tahun 1748 bersamaan 1152 Hijrah  oleh Che Mat Haji Kecut, seorang hartawan yang kaya ketika itu.

Sejarah Masjid Kampung Kling di Melaka

Masjid Kampung Kling terbina di atas sebidang tanah milik Belanda yang telah dihadiahkan kepada Dato’ Aroon. Ia kemudian diwariskan kepada Dato’ Shamsuddin bin Dato’ Aroon, Kapitan Melayu ke-2.

Pada tahun 1782, bangunan kayu ini telah digantikan dengan batu bata dan diubah suai sekali lagi pada tahun 1808.  Keadaan masjid yang ada sekarang adalah hasil pengubahsuaian yang berlaku di antara tahun 1938 hingga 1940.

Kos pembinaan dan bahan binaan adalah hasil derma penduduk tempatan. Pembinaannya mengambil masa lebih kurang empat ke lima tahun. Pada tahun 1908, atapnya telah ditinggikan sepertimana atap di Masjid Kampung Hulu.

Pembinaan ini bertujuan menggantikan Masjid Kampung Hulu yang dikatakan hendak dilelong oleh pemiliknya, Hajah Aminah binti Dato’ Shamsuddin. Maka masjid ini dibina bagi menggantikan masjid Kampung Hulu.

Walau bagaimanapun, tanah Masjid Kampung Hulu tidak jadi dijual, maka kedua-dua masjid ini masih digunakan sehingga hari ini. Memandangkan jaraknya berdekatan, maka setiap kali solat Jumaat, digilir-gilirkan antara keduanya.

Berdasarkan cerita penduduk tempatan, sejarah Kampung Kling bermula dari sebuah penempatan awal yang berketurunan peranakan Arsaily. Mereka adalah pedagang-pedagang dari wilayah Gujerat yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di kawasan ini.

Oleh kerana majoriti penduduk kampung adalah Peranakan Keling, iaitu berketurunan orang dari wilayah Kalinga (terkait dengan kerajaan silam Kalinga di timur India, sekarang di Odisha), maka kampung ini telah digelar dengan nama Kampung Keling (Kling).

Keunikan seni bina Masjid Kampung Kling

Uniknya masjid ini adalah seni binanya.  Ia menerima pengaruh dari beberapa negara.   Walau bagaimanapun, fungsi asal sebagai tempat ibadah masih kekal dan ia bukti   perkembangan sejarah Islam di negara ini khususnya di Melaka.

Bahagian menara dan mimbar mempunyai pengaruh Hindu. Tiang lampu dan tempat wuduk dari pengaruh seni bina Arab.  Manakala jubin lantai adalah buatan Portugis dan Inggeris.

Tiang dan ruang solat berunsurkan seni bina Corinthian (Yunani, iaitu Greece). Dikatakan seni bina seperti ini sama seperti di Sumatera.  Bahan binaan asal iaitu kayu Belian didatangkan khas dari Sumatera.

Ada pendapat mengatakan kayu dan bahan tersebut berasal dari Kalimantan. Tidak kurang pula mengatakan bahan binaan kayu itu datang dari negeri Melaka sendiri. Masjid Kampung Kling walaupun hari ini terletak di kawasan perniagaan orang Cina, namun setiap kali masuk waktu solat, seperti biasa azan akan tetap dilaungkan.

Setiap malam Jumaat dan Sabtu pula, anda boleh bersama hadir di majlis-majlis ilmu yang disediakan. Pengajian kuliah ilmu diadakan selepas maghrib dengan pelbagai topik di tengah-tengah kebisingan bandar Melaka.

Masjid Kampung Kling yang telah dibina pada abad ke-18 telah dijadikan bahan sejarah, dan kini ia di bawah penyeliaan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM) sebagai peninggalan warisan negara.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.